Sunday, June 29, 2008

NAH

NAH…

Nah…
hanya kerana tamak
sering muslihat perdaya kita
biarpun di luar kerelaan samasekali.

Nah…
hanya kerana khuatir
ada waktu kita patuhi segala
sebelumnya dicucuk hidung
lalu diseret ke merata arah.

Nah…
hanya kerana lupa
bahawa kita adalah pendatang
bertamu seketika di bumi Tuhan
angkuh dengan milik yang ada
sanggup mengunyah daging saudara.

Nah…
sewajarnya kita sudah lama sedar
belum separuh sumpit bekalan terisi
relakah diisi sarap yang tidak dikehendaki?


ABDUL HALIM YAACOB
A Setar (30062008)

Saturday, June 28, 2008

DIDIKAN MUTAKHIR

DIDIKAN MUTAKHIR

Pendirianmu pada usia senja begini
sesungguhnya sukar amat kutemui makna
biar sudah berulangkali kucuba terjemah
agar generasi muka mengerti persepsi
lalu bakal diwariskan ke hari muka.

Sayang….
mewajarkan suaramu di penghujungnya
ucap bahasamu menjurus nilai material
seakan keberangkatan ke alam berikutnya
dibekali jurus-jurus yang kau kejar.

Lalu di benak melintas soalan:
begitu didikan mutakhir?
Di kalbuku lantas bergayut pilu
ke mana halatuju jatidiri bangsaku?


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar.
28 Jun 2008.

DIDIKAN MUTAKHIR

DIDIKAN MUTAKHIR

Pendirianmu pada usia senja begini
sesungguhnya sukar amat kutemui makna
biar sudah berulangkali kucuba terjemah
agar generasi muka mengerti persepsi
lalu bakal diwariskan ke hari muka.

Sayang….
mewajarkan suaramu di penghujungnya
ucap bahasamu menjurus nilai material
seakan keberangkatan ke alam berikutnya
dibekali jurus-jurus yang kau kejar.

Lalu di benak melintas soalan:
begitu didikan mutakhir?
Di kalbuku lantas bergayut pilu
ke mana halatuju jatidiri bangsaku?


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar.
28 Jun 2008.

DUNIA LIHATLAH

DUNIA LIHATLAH

Telah kucuba percaya cerita mutakhir
tapi hampa lalu aku kecundang
mengunyah situasi milenium kini
budaya dusta sanasini tanpa belas mengganas.

Lalu aku juga ditauliah bersama
jadi penjaja dusta dibawa lewat bicara
mendokong doktrin terkini
santun dijenamakan bahan primitif.

Didikan dekad-dekad silam
sedihnya pada arus terkini
terpinggir setelah dihakis nilai material
insan lantas hilang keinsanan sejagat.

Dunia lihatlah
rona pekerti penghunimu
kini coraknya samasekali berbeza
dihiasi kezaliman berpanjangan.


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar.
27 Jun 2008.

Thursday, June 26, 2008

MANIS @ PAHIT

MANIS @ PAHIT



Maaf kawan kiranya aku terlanjur
setelah tiga dekad di sini
berkali-kali cuba kujejaki. Namun
belum kutemui kemanisan
atas nama kawan carilah
akan kautemui barangkali.

Berliku laluan ini. Samar
onak dan ranjau telah kutempuhi
di mana-mana kecuaian diintai
mencabar ketabahan. Gelincir
kesungguhan andai rapuh
tercalar. Tertusuk bisa.

Kiranya rapuh benteng iman
kecundang menanti kelalaian
melenyapkan gunung harapan.
Lebur semangat.

Barang diingat
kemanisan lazimnya beracun
kepahitan di dalamnya ada penawar
terokalah. Cabar halangan
mudah-mudahan berhasil
terimalah dariku sekalung tahniah.

ABDUL HALIM YAACOB, ALOR SETAR
22 Disember 2006.

Wednesday, June 25, 2008

MANUSIA KEJAM

MANUSIA KEJAM.

Desa kelahiranku di pinggir belantara
laluan lebuhraya dibina di sana
tapi pepohonan rimbun masih bersisa
di dahan sebilangan monyet bergayutan.

Setelah melihatnya cucuku lantas bertanya:
“Mengapa tak letak dalam sangkar?”
lalu kembali aku bertanya:
“Kenapa mesti dalam sangkar?”
dijawabnya spontan:
“Kan sangkar itu tempatnya?”

Setelah lama memori kujejaki
berbalam-balam jawapan kutemui
bahawa pernah cucuku dibawa lawat sarkas
meski diberi makan secara berjadual
dengan haiwan manusia tetap kejam.

ABDUL HALIM YAACOB, A. SETAR.
10 Januari, 2008

Saturday, June 21, 2008

GURINDAM MARI KITA FIKIR

GURINDAM MARI KITA FIKIR

Alangkah sedih bertambah sayu
Nasib bangsaku bernama Melayu.

Kehidupan kini kian sempit
Di jalan raya masih merempit.

Sesudah lima dekad lebih medeka
Namun dilihat masih jua leka.

Bumi Malaysia ternyata subur
Pemodal asing datang melabur.

Di kalbuku terbetik soal
Tiadakkah kita punya modal?

Mengapa dieksport bahan mentah
Andai di proses mungkin murah.

Sekali fikir kita ini dungu
Tapi ke mana hendak diadu?

Mari bersama kita fikir
Agar jangan terus jadi fakir.



ABDUL HALIM YAACOB
Alor Setar, 210608.

Friday, June 20, 2008

ANDAI BUKAN KITA (vii)

ANDAI BUKAN KITA (vii)

Di sebalik lontaran janji-janji manis
dunia mutakhir sukar ditafsir
ganas amat andai iktibar gagal dikutip
dimanfaatkan agar jadi penyuluh
denai berliku di mana-mana.

Barang diingat amaran ini
saksikan betapa ngeri satu demi satu
keagungan konon punya tenaga perkasa
punya jati diri unggul tersungkur rebah
punah dimamah perubahan zaman.

Andai bukan kita
siapa akan mebangkitkan
masih tak terhitung insan nyenyak
dibuai mimpi muluk-muluk
alpa serta leka berpanjangan.


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar
200608.

Thursday, June 19, 2008

SAYAKAH HANTU?

SAYAKAH HANTU?

Itu seperti suara saya
Gambar juga seiras wajah saya
Barangkali bukan saya, MUNGKIN
Tapi siapa empunya suara?
Siapa pula empunya wajah?
Mustahil hantu hah…ha
JAWAB!
SAYAKAH HANTU?
Atau saya ini memang berhantu?

ABDUL HALIM YAACOB, A. SETAR.
23 JANUARI 2008

Wednesday, June 18, 2008

MODAL INSAN

MODAL INSAN

Menjengah dunia marhaen
perasaan didakap pilu melihat kedaifan
anak-anak yang tercicir lantaran gagal
mengunyah ajaran sumber asing
lantas mereka muak lalu menjauhinya
bergelut dengan tuntutan kehidupan.

Demikian dunia modal insan
yang konon hendak dibangunkan
celaru dengan kemelut ideologi
dan tanpa silu anak-anak marhaen menjerit:
kedaulatan bahasa ibunda teruk tercemar!
Kembalikannya! Usah ditangguh!

Wajah marhaen menyinga
jauh menajam pandangan
ke masa depan yang kabur
lalu pemimpin mengalih perhatian:
kenaikan keperluan harian
komoditi teguh berkembang
marhaen menagih realiti!


ABDUL HALIM YAACOB
Alor Setar, Kedah.
19062008

REJA-REJA NOSTALGIA

REJA-REJA NOSTALGIA

Seketika bersama cucu
aku menjengah desa kelahiran
di musim jujuh durian
melihat reja-reja nostalgia.

Cucuku lahir di kota
nyata jauh dari mengenali
ayam serta angsa
kambing atau lembu
jauh sekali kerbau yang kian kurang
kecuali anjing kurap tanpa pemilik
yang sering berkeliaran merata.

Cucuku berkata “Itu anjing”
tatkala melintas depan mobilku
seekor kambing kurus
“Itu ayam besar” tatkala lihat angsa
cucuku hampir kunyah tahi kambing
kerana sangkanya “Itu Kacang”.

Ini mungkin kisah lucu
tapi rasa bimbang bergayut
ditangkai hatiku
anak kelahiran desa
yang kota jadi kediaman
pada usia emas.


ABDUL HALIM YAACOB, A SETAR.

8 Januari, 2008.

Tuesday, June 17, 2008

KUSUT AKHIRNYA TERUNGKAI


KUSUT AKHIRNYA TERUNGKAI.

OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

SEMENJAK dia dan Zuki pulang jiwa Jusoh rasa kusut amat. Kacau sungguh. Fikirannya jadi bercelaru dan tidak tentu arah. Dia rasa bersalah. Andainya rahsia ini tersebar barangkali nama baik Haji Dahari yang kini keluarganya juga akan turut tercemar.

Adakah wajar hal itu dimaklumkan kepada isterinya yang sedang mengandung tujuh bulan itu?
Mungkinkah anak sulungnya yang bakal lahir itu akan jadi pendusta andai dia masih menyembunyikan perkara ini?
“Maksud sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis ni, empat perkara yang amat dikhuatiri berlaku ke atas umatku, dan jika kesemuanya dimiliki, maka jadilah ia munafik sejati sehingga ditinggalkan kesemuanya. Dan jika dia mengamalkan salah satu daripadanya, maka jadilah dia seorang yang memiliki sebahagian sifat-sifat orang munafik sehinggalah dia meninggalkanya.”
Masih terngiang-ngiang di gegendang telinga Jusoh butir-butir pengajaran Haji Dahari, mertuanya suatu waktu dulu. Setiap anak jemaah yang duduk berceratuk di atas surau begitu tekun menanti penjelasan seterusnya.
“Apa dia?” Haji Dahari melemparkan pandangan seketika ke arah sebahagin anak jemaah. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke muka surat kitab yang terkembang di hadapannya semula.
Setelah melafazkan hadis dalam bahasa Arab, Haji Dahari meneruskan pengajaran: “Sabda baginda lagi, adapun perkara itu ialah; apabila berjanji ia mungkir, apabila diamanahkan ia khianat, apabila berkata-kata ia berdusta dan apabila berbalah dia melampau batas. Wallahu a’lam.”
Meriding bulu roma Jusoh bila mengingat perkara ketiga itu.
“Apa yang merunsingkan, abang?”
Pertanyaan itu menjadikan Jusoh agak tersentak. “Tak… tak ada apa-apa,” tergagap-gagap Jusoh menjawabnya.
“Takkan tak ada apa-apa. Dah tiga hari abang balik ke rumah, Limah tengok abang selalu gelisah. Macam meyembunyikan sesuatu perkara saja,” tingkah Halimah isterinya. “Kadang-kadang abang meracau dalam tidur.”
“Meracau? Benarkah begitu, Limah?”
“Pernahkah Limah cakap bohong dengan abang selama ni?”
Mendengar jawapan isterinya sedemikian, Jusoh rasa bersalah pula.

Perlukah aku berterus-terang? Sampai bila aku nak berlakon? Masakan selama-lamanya aku nak main wayang dengan Halimah? Pertanyaan itu bertalu-talu mengocak kolam benak Jusoh.
“Memang berterus-terang tu pahit, Soh,” tiba-tiba Jusoh teringat ungkapan yang pernah disampaikan kepadanya. Dan ungkapan itu diluahkan oleh Haji Dahari sewaktu dia mula-mula sampai di desa itu.

Hasratnya waktu itu hanya satu iaitu hendak mencari nafkah bagi menyara dirinya. Kebaikan Haji Dahari yang menerimanya bukan bermaksud sebagai kuli menoreh getah membuatkan Jusoh tidak tergamak berdusta. Lagi pula raut wajah serta bentuk badannya jelas memperlihatkan usianya masih muda. Pada usia sedemikian selayaknya dia adalah seorang pelajar di sekolah menengah atau pondok pengajian agama seperti pemuda-pemuda yang sebayanya.
“Sebenarnya saya terpaksa berhenti sekolah waktu mula-mula memasuki tingkatan lima, Pak Haji,” akhirnya Jusoh terpaksa berterus-terang. “Bapa dan ibu saya baru meninggal dunia secara mengejut dengan tidak meninggalkan apa-apa harta. Dulu khabarnya bapa saya itu ada sikit harta. Tapi semuanya habis digunakan bagi mendapatkan wang mengubati kakak saya.”
Melihatkan Jusoh terlalu hiba, Haji Dahari menepuk-nepuk bahunya dengan penuh mesra.
“Bersabarlah. Itu semua kehendak Allah untuk menguji hambaNya yang dikasihi. Maafkan Pak Haji nak tanya satu perkara. Boleh?”
Sambil menyeka air mata dengan perut tapak tangan, Jusoh hanya mampu mengangguk.
“Kakak Jusoh tu sakit apa sebenarnya?”
Jusoh menggeleng beberapa kali dan air matanya kelihatan tergenang. “Tak tahulah Pak Haji. Banyak duit bapa habis. Sampai di saat kematiannya, tiada siapapun yang tahu. Pernah dia duduk di hospital dekat sebulan. Tapi doktor tak dapat sahkan apa penyakitnya.”
“Jadi sekarang ni tinggal Jusoh seoranglah?”
“Betul Pak Haji. Itulah sebabnya saya berhenti sekolah dan sampai di sini sebab nak ambil upah menoreh getah.”
“Beginilah, Soh,” ujar Haji Dahari setelah agak lama menyepi. “Tinggallah dengan kami. Anggaplah keluarga Pak Haji macam keluarga Soh sendiri.”
“Tapi Pak Haji…”
“Tak ada tapinya lagi, Soh. Pak Haji dapat meneka apa yang Soh nak cakapkan. Kami tak ada anak lelaki. Ada anak seorang pun, perempuan. Baru dua tahun masuk sekolah menengah.”
Mahu tak mahu Jusoh akhirnya mengalah. Biarpun hatinya begitu berat untuk menerima tawaran Haji Dahari itu dia tidak berdaya menolaknya. Hajah Latipah, isteri Haji Dahari itu pula meminta agar dia memanggilnya emak.
“Mak Haji tahu, memanglah kekok Jusoh nak buat macam tu. Tapi kalau dah biasa, lama-lama tak kekok lagi,” kata Hajah Latipah bila didapatinya Jusoh sering tergagap-gagap.
Atas desakan Halimah pula Jusoh berpeluang menyambung pelajaran. Tetapi dia gagal beroleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Cambiridge. Rasa bersalah kerana tidak dapat membalas budi keluarga angkatnya itu membuatkan Jusoh merasa dirinya tidak layak untuk terus tinggal bersama mereka. Lalu dia berhasrat untuk membawa diri sahaja dari situ.
“Kau dah cakap hal ini pada Pak Lung?” tanya Zuki sebaik sahaja Jusoh menyuarakan hasratnya itu.
Jusoh tidak terus menjawab. Dia hanya mengelengkan kepala.
“Ada baiknya kau jelaskan hal ini kepada mereka,” cadang Zuki.
“Aku tak sampai hati, Ki. Maukah kau temankan aku?”
“Itupun kena ada teman?” kata Zuki setelah ketawanya reda.
“Sekurang-kurangnya aku ada semangat, tak gementar.”
Akhirnya Zuki menyetujui permintaannya itu. Sesungguhnya cuma Zuki teman karibnya semenjak dia datang ke desa itu.
Bukan Jusoh tidak suka bergaul dengan para pemuda yang sebaya dengannya di situ. Tetapi dia tidak mahu membazirkan waktu di kedai kopi atau di pinggir-pinggir jalan seperti amalan kebanyakan mereka. Pada penglihatannya tingkah laku Zuki adalah berlainan dari sebilangan pemuda yang sebaya dengannya. Memang benar Zuki hanya sempat bersekolah setakat tingkatan dua sahaja. Tetapi dia adalah seorang pemuda yang rajin bekerja. Oleh kerana dia adalah anak saudara Haji Dahari, rumahnya juga tidak jauh dari situ.
“Kami tak minta balasan dari kamu, Soh. Tapi kalau itulah keputusan kamu, apa boleh buat,” ulas Hajah Latipah setelah mendengar luahan suara hati anak angkatnya itu.
Perasaan Jusoh berbelah bahagi bila melihat air mata emak angkatnya itu tumpah lalu mula membasahi pipinya. Manakala Halimah terus beredar ke dalam rumah selepas mendengar penjelasan Jusoh. Sementara Zuki yang ada bersama ketika itu hanya menekur wajah ke lantai tanpa bersuara walau sepatah.
“Ayah harap beginilah, Soh. Tinggallah terus dengan kami di sini,” Haji Dahari bersuara setelah agak lama suasana sepi berlangsung. “Ada lagi satu harapan kami. Itupun kalau Soh setuju. Tapi kalau tak setuju, kami tak mau paksa. Pertimbangkanlah hal ini baik-baik.” Haji Dahari mengalihkan pandangan ke arah Hajah Latipah seakan memohon keizinan.
“Dah nak masuk tiga tahun Soh tinggal dengan kami,” ujar Hajah Latipah perlahan. Suaranya agak sebak. “Kami dah anggap Soh macam ahli keluarga kami.”

“Betul tu Soh. Biarlah ayah berterus terang saja dalam hal ini,” Haji Dahari menelan liur seraya menarik nafas. “Begini Soh. Err… kami berhajat nak kekalkan Soh sebagai ahli keluarga kami. Sudikah Soh ambil Halimah sebagai isteri?”
Pertanyaan Haji Dahari itu menjadikan pandangan Jusoh berpinau-pinau seketika. Sekujur tubuhnya seram sejuk. Sementara dengan ekor matanya dia menjeling ke arah Zuki yang kelihatan mengangguk perlahan seraya tersenyum.
“Halimah juga tak pas LCE. Soh pun tahu kan?” Hajah Latipah bersuara setelah agak lama suasana sepi berlalu.
“Ayah harap Soh ambillah masa sebelum buat keputusan sama ada nak menerima atau menolaknya. Kami pun tahu ini bukan perkaramudah,” sela Haji Dahari.
“Patutkah aku terima, Ki?” Jusoh meninjau pandangan teman baiknya itu keesokan harinya ketika berehat selepas membersihkan kebun getah Haji Dahari.
“Kalau akulah, Soh. Tak ada sebab aku nak tolak,” balas Zuki.
“Apa pasal kau tak ganti saja tempat aku?”
“Maksud kau ambil Halimah jadi isteriku?”
Jusoh hanya mengangguk beberapa kali tatkala Zuki mengajukan pertanyaan itu sambil menajamkan pandangan ke arahnya.
“Tak boleh, Soh. Tak boleh.”
“Apa pasal tak boleh pula?”
“Kau tahu, Halimah tu sepupu aku. Aku dah anggap dia macam adik kandung aku sendiri.”
“Anggapan saja. Tapi kalau kau kahwin dengan dia, sah, Ki . Sah!” tekan Jusoh.
“Memanglah sah. Tapi… aku mau besarkan saiz keluarga, Soh.”
"Besarkan saiz keluarga? Heh…. Tak fahamlah aku.”
“Begini. Kalau aku ambil dia jadi isteri, ertinya keluarga aku nanti berlegar di sekitar saudara mara terdekat saja. Tak berkembang. Lainlah kalau orang asing turut sama jadi anggota keluarga menerusi perkahwinan. Kaupun tahu. Keluarga aku macam keluarga Pak Lung juga. Tak ramai. Aku anak tunggal macam Halimah juga. Macam mana pun dia tetap saudaraku yang terdekat ,” terang Zuki.
“Oo… ya, ya. Sekarang baru aku faham. Tapi, aku juga tak ada saudara mara. Cuma sebatang kara.”
“Betul tu. Sekarang kau seorang saja. Tapi kalau kau jadi menantu Pak Lung, hah… kau ada lima orang ahli keluraga tak termasuk diri kau sendiri bukan? Pak Lung, Mak Lung, Halimah, aku, dan mak aku. Kau tak suka kalau ada keluarga besar nanti?”
Atas pujukan Zuki, Jusoh akhirnya berkahwin dengan Halimah. Perkahwinan itu sekali gus melenyapkan desas-desus yang mula terdengar dari mulut orang-orang kampung terhadap Haji Dahari. Mereka mula memandang serong terhadapnya dengan mengatakan dia membiarkan orang asing tinggal serumah dengannya yang mempunyai anak gadis. Di sebabkan mereka bukan muhrim macam-macam hal boleh berlaku. Sudah tentulah keadaan ini boleh mencalar wibawa Haji Dahari sebagai seorang yang arif dengan ilmu Islam dan disegani.
Sebagai menantu seorang alim kini sudah tentulah apa yang dilakukannya bersama Zuki ketika pergi berburu tempoh hari boleh mendatangkan aib kepada keluarga Haji Dahari jika perkhabaran itu tersebar. Memang benar setakat ini hanya dia dan Zuki sahaja mengetahui rahsia itu. Namun bukan mustahil ia akan tersebar. Sekiranya hal ini berlaku ia mungkin boleh menjadi satu fitnah.
Berkali-kali Jusoh beristighfar serta berdoa agar ia terhindar. Tapi dia berpendapat lamabat laun rahsia itu akan terbongkar. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia bagaimana?
Akhirnya Jusoh nekad untuk menceritakan hal itu kepada mertuanya. Selagi ia tidak berterus terang selagi itulah kekusutan fikirannya tidak terugkai.
“Kau bimbang hal itu, Soh? Heh dengar sini, dengar sini. Masa tu kita dalam keadaan darurat, Soh. Tak apa punya,” tegas Zuki.
“Kau cakap senanglah, Ki. Tapi hati aku tetap kusut. Selagi kita tak bersemuka dengan ayah, fikiran aku berserabut. Dulu bila aku kahwin dengan Halimah ada suara mengatakan aku ambil kesempatan. Aku tak mahu ada orang anggap menantu Haji Dahari, orang alim tu makan benda haram. Nanti malu keluarga dia,” tukas Jusoh.
“Habis? Apa yang kau nak aku buat?”
“Sekali lagi aku minta tolong kau temankan aku bersemuka dengan ayah. Aku nak ceritakan hal ni,” rayu Jusoh.
“Temankan saja?”
Jusoh mengangguk berkali-kali. “Sekurang-kurangnya bila kau ada bersama, kuatlah sikit semangat aku.”
Sebaik habis Jusoh menceritakan apa yang telah dilakukan Haji Dahari ketawa kecil. “Mujur tak ada permuafakatan ulama yang membolehkan dimakan daging manusia ketika berada dalam keadaan darurat. Tak ada satu ayat dalam hadis yang mebawa maksud begitu. Kalau tidak entah-entah Soh jadi korban Zuki masa tu.”

“Apa ertinya tu ayah?” tanya Jusoh seraya pandangannya silih berganti di antara wajah Haji Dahari dan Zuki.
“Daging babi tu diharamkan orang Islam memakannya. Najis pula. Tapi dalam keadaan darurat ia dibenarkan, Soh,” terang Haji Dahari kemudian.
“Sebab tulah aku tembak babi yang datang dekat tempat kita hari tu,” sampuk Zuki. “Mula-mula kau tak setuju aku sembelih. Bila dibakar kau makan sama dan kau kata sedap pula.”
“Sedap?” Hajah Latipah yang ada bersama dan mendiamkan diri sejak dari mula meluru ke jendela lalu meludahkan air liur bercampur gelema ke tanah.
Halimah juga terus meluru ke arah jendela yang lagi satu serta memuntahkan isi perutnya.
“Memang daging babi tu… kata orang yang pernah memakannya sedap. Allah menegah kita memakannya adalah bertujuan supaya kita patuh kepada suruhan dan tegahanNya,” ujar Haji Dahari seraya memandang ke arah isteri dan anaknya dengan senyuman menguntum di bibir.




Monday, June 16, 2008

JANJI & UMPAN

JANJI & UMPAN

Lunak pelbagai janji dihulurtabur
resepinya pasti enak andai perencah dusta
juga pura-pura diadun serta. Lalu sini sana
membiak luas tersebar di media terkini
era langit terbuka dunia tanpa sempadan.

Pelbagai umpan makmur dihambur
manis di wajah di kalbu bercuka duka
di hujung pengorbanan pasti raih zon selesa
mesti dikejar biar dengan apa jua cara
lantaran di hujung menanti habuan.

Janji & umpan satu fenomena bermusim
wujud terselindung helah tanpa silu
pun ada tokoh bermuka-muka
jiwa konon murni menganjur kebajikan
sedang baru seketika digelumangi maksiat
tanpa sedar ada kala umpan yang terhambur
lantas berserakan pembaziran jadi pekung
timbunan hutang lapuk. Tidak mungkin dihapuskira.

Alor Setar, Kedah.
17 Februari 2008.

NOSTALGIA

NOSTALGIA

Sekian jauh jejak-jejak masa silam ditinggalkan
dan aku sesungguhnya sangat merinduinya
meski telah lama gelumang lumpur sawah lembah
dikepung bukit bukau belentara menggerunkan
sarang persembunyian bandit pengacau keamanan
bukan mustahil muncul merampas suasana tenteram.

Mutakhir ini di depan mataku kemanisan lampau
dengan cara apapun jua mustahil kembali berulang
amat memilukan tuntutan modenisasi memusnahkan
segalanya tanpa bersisa untuk renungan hari muka.

ABDUL HALIM YAACOB
21 Januari 2007

ANDAI BUKAN KITA (vi)

ANDAI BUKAN KITA (vi)

Hati kita digayuti bimbang
gelagat warga remaja anak bangsa
hanyut di arus globasisasi
mungkin tenggelam dalam leka
selepas lima dekad bebas.

Barangkali berulang mimpi ngeri
empat abad teraba-raba
di gelita kuasa penjajah
racun cengkaman kolonial
ke tulang sumsum bisanya menikam.

Andai bukan kita menyedarkan
tanggungjawab siapa?


ABDUL HALIM YAACOB, A SETAR.
8 Januari 2008.

ANDAI BUKAN KITA (v)

ANDAI BUKAN KITA (v)

Andai bukan kita
milik siapa kegemilangan itu
siapa sebenarnya menjenamakannya
tegak megah di persada jagat
disegani mereka yang sebelumnya
di bawah sepatu mahalnya
pernah meletak kita.

Andai bukan kita
siapa bakal menjenamakan
sekurang-kurangnya menjulang
jatidiri lantas lantang melaung
menunjang sokongan penghuni jagat.

Andai bukan kita
dengan sendiri mengagung diri
siapa kelak bakal melakukannya
usah merasa kerdil kerana pernah diinjak
sewajarnya tertanam semangat waja
berjiwa besar bukan suatu kesalahan.

Andai bukan kita
hari ini menyemai benih
usah harap esok dapat menuai hasil
kerana ruyung andai tidak dipecahkan
keringat jua tidak menitis
mustahil sagu mudah diperoleh.

ABDUL HALIM YAACOB, A. SETAR.
30 Januari 2007.

ANDAI BUKAN KITA (iv)

ANDAI BUKAN KITA (iv)

Dalam kegairahan menuju puncak usia
kita sekali lagi usah terpedaya ungkapan bermadu
awas sentiasa pada sanjungan diterima
maruah yang dimiliki mesti dipelihara
sehingga bila-bila mahal di nilai harga.

Benar budaya kita murni
malang amat minda diracuni
mudah dilebur umpan negatif
mengenepi milik sendiri
konon longlai membosankan
di sudut muzium tempatnya.

Kemuncak usia 2020 kian mendekat
haluan di acuan ibunda, pasti
bukan mustahil matlamat bakal dimiliki
semestinya jangan dilupa pesaka diwarisi
andai bukan kita meneruskan, siapa?


ABDUL HALIM YAACOB, A. SETAR
15 Januari 2007

ANDAI BUKAN KITA (iii)

ANDAI BUKAN KITA (iii)

Detik lampau kerana tamak juga jahil
lalu tanpa panjang berfikir
mengajak pendatang jadi pembimbing
tanpa sedikitpun diperhitung
tahap ikhlasnya atau apakah mereka pencatur?

Pendatang bermuka manis menghulur tawaran
menginjak kaki ke dalam intai kesempatan
sewenangnya hasil bumi dikaut
mengisi kantung kaum kapitalis
lurus telunjuk berkait kelingking!

Mereka lantas dijulang sanjungan
sedang kita merempat terus
di bumi sendiri papa kedana
tanpa segan silu mengemis simpati.

Lima dekad kini telah berlalu
ketika milik kita berada di tangan
bakal diacuan minda sendiri
seharusnya haluan tidak tersasar.

Gejala sosial mencalar tekad
tonggak pegangan kian terhakis
sihatkah minda umat mutakhir
andai bukan kita keras berusaha
membasmi pengaruh asing itu?

ABDUL HALIM YAACOB, ALOR SETAR.
14 Januari, 2007.

ANDAI BUKAN KITA (ii)

ANDAI BUKAN KITA (ii)



Bukan kecil jumlah jiwa terkorban


angkara agenda mahu diteruskan


konon membasmi keganasan .



Benarkah jagat sedang terancam?


hakikanya merekalah pengganas itu.



Mari sekilas detik lampau direnungi


Vietnam dizalimi kuasa militan


Teori Domino suatu fakta bukan realisma


kemusnahan di Kemboja siapa menaja?



Anak-anak Asia mari bangkit semula


kitalah penanggungjawab itu


bukan kuasa barat yang munafik


konon mendabik dada mengaku juara.



Andai bukan kita siapa lagi?


Ayuh kerah tenaga waja usah bertangguh!


Benar fizikal kita kerdil


tapi usah dilupa minda kita kekar.




ABDUL HALIM YAACOB, ALORSETAR.


14 Januari, 2007.

ANDAI BUKAN KITA (i)

ANDAI BUKAN KITA (i)

Andai begitu kenyataannya
wajar kita merasa pilu berpanjangan
orientalis punya agenda tersembunyi
betungkus-lumus menafikan
sejarah yang tidak pernah bohong!

Keagungan silam suatu kebenaran
manipulasi orientalis menafikan
menciplak membudaya penipuan
tidak mengaku diri kecundang!

Siapa sebenarnya petualang
andai bukan kita mendedahkan
dengan nekad menonjol diri
pastinya terserlah ketrampilan
sekalipun fizikal kita dipandang kerdil.

ABDUL HALIM YAACOB, ALOR STAR.
13 Januari, 2007

Sunday, June 15, 2008

TERIMA KASIH BAPA

TERIMA KASIH BAPA

Terima kasih bapa
kerana melayan kerenahku
maklum akulah satu-satunya anak lelaki
akulah racun sekali gus penawar.

Terima kasih bapa
kini di sisiku kau tiada lagi
hanya kepada Allah kupanjatkan doa
moga kau bahagia di sana.

Terima kasih bapa
insya Allah wasiatmu dulu
kan terpahat di benakku:
jauhi amalan menderhakai ibubapa
usah ambil juga makan milik anak yatim
jangan menganiaya sesiapa jua.

Amin yarabbal alamin.

ABDUL HALIM YAACOB
A Setar, 150608.

Saturday, June 14, 2008

KANTUNG KONTANG

KANTUNG KONTANG

Harga petrolium tiba-biba meningkat lagi
foto di media menteri sengih pamer gigi
di tegah pergi ke luar negeri
sebenarnya khuatir kan hilang kerusi.

Bencana ditanggung pengundi
riuh rendah persoalan tuntut janji
pilih antara satu kerbau dipegang tali
manusia dipegang janji.

Sebelumnya sudah tercatat di manisfesto
harga petrolium tetap kekal pada harga
rakyat selamat, aman dan makmur.

Kini apa yang terjadi?
kantung kian kontgang!
domonstrasi sana sini
tak mungkin reda.

ABDUL HALIM YAACOB.
A Setar, 130608.

SYAIR SUASANA KINI

SYAIR SUASANA KINI

Duhai sekalian rakyat jelata,
Mari renungkan kisah yang nyata,
Bukan direka semata-mata,
Konon kemakmuran miliknya kita.

Di ini negara buminya subur,
Seluruh jagat nama termasyhur,
Rakyat nan miskin hampir kebulur
Pelbagai janji sebelumnya di tabur.

Masihkah kita dilamun mimpi,
Sokongan ditagih ke akar ubi,
Relakah kalian hulur simpati,
Sedang janjinya sukar dipercayai.

Saban ketika resah dan bimbang,
Kantung nan kempis semakin kontang,
Di manakah tempat hendak berhutang,
Sekadar cukup membeli barang.

Suasana kini teramat runcing,
Setiap warga fikiran runsing,
Hilanglah sudah damai dan hening,
Di sini sana bingit dan bising.

Demikian kisah di bumi tercinta,
Lima dekad sesudah merdeka,
Di padang hayat warga derita,
Umpama meniti di atas bara.


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar.

14 Jun 2008.