Wednesday, October 22, 2008

SUBJEK SEJARAH DAN SASTERA ERA PASCA MERDEKA

Masa aku di darjah 5 (1964) sekolah rendah dulu ada subjek Tawarikh dalam sukatan pelajaran pasca merdeka. Kalau tak salah teks yang jadi rujukan dikarang oleh A.P. Sivam. Salah satu peristiwa dalam teks itu yang masih aku ingat ialah berkenaan dengan pembukaan Melaka yang dikatakan berikutan dengan peristiwa seekor pelanduk putih menendang seekor anjing ketika Permaisura (Parameswara) sedang bersandar di pangkal pokok 'melaka'. Menariknya pengarang teks memulakan kandungan teks dengan memperkatakan peri pentingnya sejarah dipelajari. Kalau tak salah ada satu lagi teks terbitan DBP yang membawa pelajar mengenali sejarah di luar Tanah Melayu serta tokoh tertentu antaranya Sidharta Gautama, Guru Nanak, Jengiz Khan, Kublai Khan, Shih Huang Ti, Taman Tergantung Babylon, Tembok Besar Negeri China Bilah, Tamadun Sumeria, Mohenjo Daro, Piramid dan Sphinx di Mesir dan banyak lagi. Turut didedahkan ialah mengenai 7 benda ajaib di dunia. Tatakala di darjah 6 pada tahun berkutnya subjek sejarah adalah berkaitan dengan para pencipta telefon, motokar, kapal terbang, lampu elektrik dan wayang gambar selain sebilangan ahli-ahli falsafah dan sains. Kalau tak silap pengarangnya ialah Ainuddin Wahid. Berkaitan dengan sastera seingat aku telah ada pendekatan dengan galakan membaca buku yang jumlahnya begitu terhad antaranya Di Kolam Ia Berkumpul, Leftenan Nor Pahlawan Gerila, Nyawa Di Hujung Pedang, Enam Orang Tahanan, Ke Darat Dengan Basikal, Si Pitak, Buaya Mati Dua Kali, Ahad, Nakhoda Tenggang, Panglima Nayan, Antologi Cerpen Aku Di Sebuah Pulau dan beberapa judul lagi termasuk teks drama Hang Jebat yang kemudian kami lakonkan di akhir tahun sebelum cuti penggal 3 terakhir aku di sekolah rendah. Sekalipun tiada pengajaran formal bagi subjek sastera di peringkat sekolah rendah, galakan membaca bahan-bahan berkenaan kukira ada manfaatnya. Karya sastera sewajarnya tidak dipersempitkan konsepnya sebagai di antara subjek yang berorientasikan untuk 'lulus periksa' sahaja. Sebaliknya ia sekurang-kurangnya menepati hasrat mendidik ke arah mewujudkan nilai murni, menyebarkan pengetahuan selain menghibur (3m). Memanglah karya atau kegiatan sastera dilihat sebagai tidak bernilai komersial, namun di dalamnya tersirat nilai yang lain dan aku melihatnya berintergriti selagi ia tidak menjurus kepada aktiviti maksiat. Barang diingat, karya sastera sebenarnya milik semua bukan hanya kepunyaan orang sastera semata-mata.

Wednesday, October 15, 2008

WASPADA

WASPADA

Rumusan resipi natijah enak minda orientalis
tanpa sedar lewat kutipan sumber Sejarah Melayu
karya Tun Sri Lanang. Mereka diperbodohkan
tabur propaganda empayar Melaka konon gemilang
eksploitasi agenda tersembunyi. Dusta berkurun
dikunyah warga santak ke era mutakhir
sesudah lebih lima dekad bebas cengakaman.

Umpan material kolonial jerat warga
kita alpa. Mereka mahir sebar dusta
moyang kita kononnya dungu dan primitif
provokasi mereka dengan definisi berseni
ditatah tawaran manis khidmat nasihat.

Akur dengan dendangan kelebihan
kepada mereka selangit sanjung dihulur
sedang khazanah bumi dipunggah
mempadat kantung nafsu imperialis
meski di bumi sendiri kita berkeringat.

Kini masih jua subur benih sengketa
fitnah dibajai percanggahan ideologi
lalu membuka ruang penjajahan baru
alaf ini sewajarnya dilengkapi perisai
waspada dengan intaian virus globalisasi
agar airmata tidak sekali lagi membasahi bumi.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar (151008)

http://esastera.com

Friday, October 10, 2008

ANJUNG

ANJUNG.

Usah tercegat cuma di laman
terus langkah ke muka tangga
bersila di anjung usah silu
persudikan jamah sepiak pinang
regukan sekapur sirih mujur
nikmati kemanisan persahabatan
segarkan kemesraan silam
hindari musibah sengketa .

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (101008)

Tuesday, October 7, 2008

IRAMA SYAWAL

IRAMA SYAWAL

Berlalu sudah sepurnama penuh barakah
mudah-mudahan latihan itu membuka langkah
tiap detik membaharui tekad menugal jihad
tegal menepis anjuran mungkar seteru anak Adam.

Ketika musim Syawal menjengah
di sini sana menggema irama syahdu
memuji kebesaran Ilahi dengan takbir dan tasbih
bertalu-talu lafaz syukur tahmid memujiNya.

Menjulang harap di musim-musim mendatang
kelak masih ada kesempatan mengimarah Ramadhan.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (71008)