Tuesday, June 17, 2008

KUSUT AKHIRNYA TERUNGKAI


KUSUT AKHIRNYA TERUNGKAI.

OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

SEMENJAK dia dan Zuki pulang jiwa Jusoh rasa kusut amat. Kacau sungguh. Fikirannya jadi bercelaru dan tidak tentu arah. Dia rasa bersalah. Andainya rahsia ini tersebar barangkali nama baik Haji Dahari yang kini keluarganya juga akan turut tercemar.

Adakah wajar hal itu dimaklumkan kepada isterinya yang sedang mengandung tujuh bulan itu?
Mungkinkah anak sulungnya yang bakal lahir itu akan jadi pendusta andai dia masih menyembunyikan perkara ini?
“Maksud sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis ni, empat perkara yang amat dikhuatiri berlaku ke atas umatku, dan jika kesemuanya dimiliki, maka jadilah ia munafik sejati sehingga ditinggalkan kesemuanya. Dan jika dia mengamalkan salah satu daripadanya, maka jadilah dia seorang yang memiliki sebahagian sifat-sifat orang munafik sehinggalah dia meninggalkanya.”
Masih terngiang-ngiang di gegendang telinga Jusoh butir-butir pengajaran Haji Dahari, mertuanya suatu waktu dulu. Setiap anak jemaah yang duduk berceratuk di atas surau begitu tekun menanti penjelasan seterusnya.
“Apa dia?” Haji Dahari melemparkan pandangan seketika ke arah sebahagin anak jemaah. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke muka surat kitab yang terkembang di hadapannya semula.
Setelah melafazkan hadis dalam bahasa Arab, Haji Dahari meneruskan pengajaran: “Sabda baginda lagi, adapun perkara itu ialah; apabila berjanji ia mungkir, apabila diamanahkan ia khianat, apabila berkata-kata ia berdusta dan apabila berbalah dia melampau batas. Wallahu a’lam.”
Meriding bulu roma Jusoh bila mengingat perkara ketiga itu.
“Apa yang merunsingkan, abang?”
Pertanyaan itu menjadikan Jusoh agak tersentak. “Tak… tak ada apa-apa,” tergagap-gagap Jusoh menjawabnya.
“Takkan tak ada apa-apa. Dah tiga hari abang balik ke rumah, Limah tengok abang selalu gelisah. Macam meyembunyikan sesuatu perkara saja,” tingkah Halimah isterinya. “Kadang-kadang abang meracau dalam tidur.”
“Meracau? Benarkah begitu, Limah?”
“Pernahkah Limah cakap bohong dengan abang selama ni?”
Mendengar jawapan isterinya sedemikian, Jusoh rasa bersalah pula.

Perlukah aku berterus-terang? Sampai bila aku nak berlakon? Masakan selama-lamanya aku nak main wayang dengan Halimah? Pertanyaan itu bertalu-talu mengocak kolam benak Jusoh.
“Memang berterus-terang tu pahit, Soh,” tiba-tiba Jusoh teringat ungkapan yang pernah disampaikan kepadanya. Dan ungkapan itu diluahkan oleh Haji Dahari sewaktu dia mula-mula sampai di desa itu.

Hasratnya waktu itu hanya satu iaitu hendak mencari nafkah bagi menyara dirinya. Kebaikan Haji Dahari yang menerimanya bukan bermaksud sebagai kuli menoreh getah membuatkan Jusoh tidak tergamak berdusta. Lagi pula raut wajah serta bentuk badannya jelas memperlihatkan usianya masih muda. Pada usia sedemikian selayaknya dia adalah seorang pelajar di sekolah menengah atau pondok pengajian agama seperti pemuda-pemuda yang sebayanya.
“Sebenarnya saya terpaksa berhenti sekolah waktu mula-mula memasuki tingkatan lima, Pak Haji,” akhirnya Jusoh terpaksa berterus-terang. “Bapa dan ibu saya baru meninggal dunia secara mengejut dengan tidak meninggalkan apa-apa harta. Dulu khabarnya bapa saya itu ada sikit harta. Tapi semuanya habis digunakan bagi mendapatkan wang mengubati kakak saya.”
Melihatkan Jusoh terlalu hiba, Haji Dahari menepuk-nepuk bahunya dengan penuh mesra.
“Bersabarlah. Itu semua kehendak Allah untuk menguji hambaNya yang dikasihi. Maafkan Pak Haji nak tanya satu perkara. Boleh?”
Sambil menyeka air mata dengan perut tapak tangan, Jusoh hanya mampu mengangguk.
“Kakak Jusoh tu sakit apa sebenarnya?”
Jusoh menggeleng beberapa kali dan air matanya kelihatan tergenang. “Tak tahulah Pak Haji. Banyak duit bapa habis. Sampai di saat kematiannya, tiada siapapun yang tahu. Pernah dia duduk di hospital dekat sebulan. Tapi doktor tak dapat sahkan apa penyakitnya.”
“Jadi sekarang ni tinggal Jusoh seoranglah?”
“Betul Pak Haji. Itulah sebabnya saya berhenti sekolah dan sampai di sini sebab nak ambil upah menoreh getah.”
“Beginilah, Soh,” ujar Haji Dahari setelah agak lama menyepi. “Tinggallah dengan kami. Anggaplah keluarga Pak Haji macam keluarga Soh sendiri.”
“Tapi Pak Haji…”
“Tak ada tapinya lagi, Soh. Pak Haji dapat meneka apa yang Soh nak cakapkan. Kami tak ada anak lelaki. Ada anak seorang pun, perempuan. Baru dua tahun masuk sekolah menengah.”
Mahu tak mahu Jusoh akhirnya mengalah. Biarpun hatinya begitu berat untuk menerima tawaran Haji Dahari itu dia tidak berdaya menolaknya. Hajah Latipah, isteri Haji Dahari itu pula meminta agar dia memanggilnya emak.
“Mak Haji tahu, memanglah kekok Jusoh nak buat macam tu. Tapi kalau dah biasa, lama-lama tak kekok lagi,” kata Hajah Latipah bila didapatinya Jusoh sering tergagap-gagap.
Atas desakan Halimah pula Jusoh berpeluang menyambung pelajaran. Tetapi dia gagal beroleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Cambiridge. Rasa bersalah kerana tidak dapat membalas budi keluarga angkatnya itu membuatkan Jusoh merasa dirinya tidak layak untuk terus tinggal bersama mereka. Lalu dia berhasrat untuk membawa diri sahaja dari situ.
“Kau dah cakap hal ini pada Pak Lung?” tanya Zuki sebaik sahaja Jusoh menyuarakan hasratnya itu.
Jusoh tidak terus menjawab. Dia hanya mengelengkan kepala.
“Ada baiknya kau jelaskan hal ini kepada mereka,” cadang Zuki.
“Aku tak sampai hati, Ki. Maukah kau temankan aku?”
“Itupun kena ada teman?” kata Zuki setelah ketawanya reda.
“Sekurang-kurangnya aku ada semangat, tak gementar.”
Akhirnya Zuki menyetujui permintaannya itu. Sesungguhnya cuma Zuki teman karibnya semenjak dia datang ke desa itu.
Bukan Jusoh tidak suka bergaul dengan para pemuda yang sebaya dengannya di situ. Tetapi dia tidak mahu membazirkan waktu di kedai kopi atau di pinggir-pinggir jalan seperti amalan kebanyakan mereka. Pada penglihatannya tingkah laku Zuki adalah berlainan dari sebilangan pemuda yang sebaya dengannya. Memang benar Zuki hanya sempat bersekolah setakat tingkatan dua sahaja. Tetapi dia adalah seorang pemuda yang rajin bekerja. Oleh kerana dia adalah anak saudara Haji Dahari, rumahnya juga tidak jauh dari situ.
“Kami tak minta balasan dari kamu, Soh. Tapi kalau itulah keputusan kamu, apa boleh buat,” ulas Hajah Latipah setelah mendengar luahan suara hati anak angkatnya itu.
Perasaan Jusoh berbelah bahagi bila melihat air mata emak angkatnya itu tumpah lalu mula membasahi pipinya. Manakala Halimah terus beredar ke dalam rumah selepas mendengar penjelasan Jusoh. Sementara Zuki yang ada bersama ketika itu hanya menekur wajah ke lantai tanpa bersuara walau sepatah.
“Ayah harap beginilah, Soh. Tinggallah terus dengan kami di sini,” Haji Dahari bersuara setelah agak lama suasana sepi berlangsung. “Ada lagi satu harapan kami. Itupun kalau Soh setuju. Tapi kalau tak setuju, kami tak mau paksa. Pertimbangkanlah hal ini baik-baik.” Haji Dahari mengalihkan pandangan ke arah Hajah Latipah seakan memohon keizinan.
“Dah nak masuk tiga tahun Soh tinggal dengan kami,” ujar Hajah Latipah perlahan. Suaranya agak sebak. “Kami dah anggap Soh macam ahli keluarga kami.”

“Betul tu Soh. Biarlah ayah berterus terang saja dalam hal ini,” Haji Dahari menelan liur seraya menarik nafas. “Begini Soh. Err… kami berhajat nak kekalkan Soh sebagai ahli keluarga kami. Sudikah Soh ambil Halimah sebagai isteri?”
Pertanyaan Haji Dahari itu menjadikan pandangan Jusoh berpinau-pinau seketika. Sekujur tubuhnya seram sejuk. Sementara dengan ekor matanya dia menjeling ke arah Zuki yang kelihatan mengangguk perlahan seraya tersenyum.
“Halimah juga tak pas LCE. Soh pun tahu kan?” Hajah Latipah bersuara setelah agak lama suasana sepi berlalu.
“Ayah harap Soh ambillah masa sebelum buat keputusan sama ada nak menerima atau menolaknya. Kami pun tahu ini bukan perkaramudah,” sela Haji Dahari.
“Patutkah aku terima, Ki?” Jusoh meninjau pandangan teman baiknya itu keesokan harinya ketika berehat selepas membersihkan kebun getah Haji Dahari.
“Kalau akulah, Soh. Tak ada sebab aku nak tolak,” balas Zuki.
“Apa pasal kau tak ganti saja tempat aku?”
“Maksud kau ambil Halimah jadi isteriku?”
Jusoh hanya mengangguk beberapa kali tatkala Zuki mengajukan pertanyaan itu sambil menajamkan pandangan ke arahnya.
“Tak boleh, Soh. Tak boleh.”
“Apa pasal tak boleh pula?”
“Kau tahu, Halimah tu sepupu aku. Aku dah anggap dia macam adik kandung aku sendiri.”
“Anggapan saja. Tapi kalau kau kahwin dengan dia, sah, Ki . Sah!” tekan Jusoh.
“Memanglah sah. Tapi… aku mau besarkan saiz keluarga, Soh.”
"Besarkan saiz keluarga? Heh…. Tak fahamlah aku.”
“Begini. Kalau aku ambil dia jadi isteri, ertinya keluarga aku nanti berlegar di sekitar saudara mara terdekat saja. Tak berkembang. Lainlah kalau orang asing turut sama jadi anggota keluarga menerusi perkahwinan. Kaupun tahu. Keluarga aku macam keluarga Pak Lung juga. Tak ramai. Aku anak tunggal macam Halimah juga. Macam mana pun dia tetap saudaraku yang terdekat ,” terang Zuki.
“Oo… ya, ya. Sekarang baru aku faham. Tapi, aku juga tak ada saudara mara. Cuma sebatang kara.”
“Betul tu. Sekarang kau seorang saja. Tapi kalau kau jadi menantu Pak Lung, hah… kau ada lima orang ahli keluraga tak termasuk diri kau sendiri bukan? Pak Lung, Mak Lung, Halimah, aku, dan mak aku. Kau tak suka kalau ada keluarga besar nanti?”
Atas pujukan Zuki, Jusoh akhirnya berkahwin dengan Halimah. Perkahwinan itu sekali gus melenyapkan desas-desus yang mula terdengar dari mulut orang-orang kampung terhadap Haji Dahari. Mereka mula memandang serong terhadapnya dengan mengatakan dia membiarkan orang asing tinggal serumah dengannya yang mempunyai anak gadis. Di sebabkan mereka bukan muhrim macam-macam hal boleh berlaku. Sudah tentulah keadaan ini boleh mencalar wibawa Haji Dahari sebagai seorang yang arif dengan ilmu Islam dan disegani.
Sebagai menantu seorang alim kini sudah tentulah apa yang dilakukannya bersama Zuki ketika pergi berburu tempoh hari boleh mendatangkan aib kepada keluarga Haji Dahari jika perkhabaran itu tersebar. Memang benar setakat ini hanya dia dan Zuki sahaja mengetahui rahsia itu. Namun bukan mustahil ia akan tersebar. Sekiranya hal ini berlaku ia mungkin boleh menjadi satu fitnah.
Berkali-kali Jusoh beristighfar serta berdoa agar ia terhindar. Tapi dia berpendapat lamabat laun rahsia itu akan terbongkar. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia bagaimana?
Akhirnya Jusoh nekad untuk menceritakan hal itu kepada mertuanya. Selagi ia tidak berterus terang selagi itulah kekusutan fikirannya tidak terugkai.
“Kau bimbang hal itu, Soh? Heh dengar sini, dengar sini. Masa tu kita dalam keadaan darurat, Soh. Tak apa punya,” tegas Zuki.
“Kau cakap senanglah, Ki. Tapi hati aku tetap kusut. Selagi kita tak bersemuka dengan ayah, fikiran aku berserabut. Dulu bila aku kahwin dengan Halimah ada suara mengatakan aku ambil kesempatan. Aku tak mahu ada orang anggap menantu Haji Dahari, orang alim tu makan benda haram. Nanti malu keluarga dia,” tukas Jusoh.
“Habis? Apa yang kau nak aku buat?”
“Sekali lagi aku minta tolong kau temankan aku bersemuka dengan ayah. Aku nak ceritakan hal ni,” rayu Jusoh.
“Temankan saja?”
Jusoh mengangguk berkali-kali. “Sekurang-kurangnya bila kau ada bersama, kuatlah sikit semangat aku.”
Sebaik habis Jusoh menceritakan apa yang telah dilakukan Haji Dahari ketawa kecil. “Mujur tak ada permuafakatan ulama yang membolehkan dimakan daging manusia ketika berada dalam keadaan darurat. Tak ada satu ayat dalam hadis yang mebawa maksud begitu. Kalau tidak entah-entah Soh jadi korban Zuki masa tu.”

“Apa ertinya tu ayah?” tanya Jusoh seraya pandangannya silih berganti di antara wajah Haji Dahari dan Zuki.
“Daging babi tu diharamkan orang Islam memakannya. Najis pula. Tapi dalam keadaan darurat ia dibenarkan, Soh,” terang Haji Dahari kemudian.
“Sebab tulah aku tembak babi yang datang dekat tempat kita hari tu,” sampuk Zuki. “Mula-mula kau tak setuju aku sembelih. Bila dibakar kau makan sama dan kau kata sedap pula.”
“Sedap?” Hajah Latipah yang ada bersama dan mendiamkan diri sejak dari mula meluru ke jendela lalu meludahkan air liur bercampur gelema ke tanah.
Halimah juga terus meluru ke arah jendela yang lagi satu serta memuntahkan isi perutnya.
“Memang daging babi tu… kata orang yang pernah memakannya sedap. Allah menegah kita memakannya adalah bertujuan supaya kita patuh kepada suruhan dan tegahanNya,” ujar Haji Dahari seraya memandang ke arah isteri dan anaknya dengan senyuman menguntum di bibir.




0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home