Saturday, June 14, 2008

SYAIR SUASANA KINI

SYAIR SUASANA KINI

Duhai sekalian rakyat jelata,
Mari renungkan kisah yang nyata,
Bukan direka semata-mata,
Konon kemakmuran miliknya kita.

Di ini negara buminya subur,
Seluruh jagat nama termasyhur,
Rakyat nan miskin hampir kebulur
Pelbagai janji sebelumnya di tabur.

Masihkah kita dilamun mimpi,
Sokongan ditagih ke akar ubi,
Relakah kalian hulur simpati,
Sedang janjinya sukar dipercayai.

Saban ketika resah dan bimbang,
Kantung nan kempis semakin kontang,
Di manakah tempat hendak berhutang,
Sekadar cukup membeli barang.

Suasana kini teramat runcing,
Setiap warga fikiran runsing,
Hilanglah sudah damai dan hening,
Di sini sana bingit dan bising.

Demikian kisah di bumi tercinta,
Lima dekad sesudah merdeka,
Di padang hayat warga derita,
Umpama meniti di atas bara.


ABDUL HALIM YAACOB, A Setar.

14 Jun 2008.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home