Thursday, May 27, 2010

TRIVIA: Himpunan Fakta Remeh Temeh Yang Akan Membuang Masa Anda

Judul Buku: TRIVIA.

Pengarang : ZULKIFLI ISMAIL.

Penerbit : MALINDO PUBLICATIONS, KUALA LUMPUR.

Tahun : 2009

Tebal : 255 muka.

Harga : SEMENANJUNG RM 20, SABAH/SARAWAK RM23.

ISBN : 9789675394300.

Pengulas: ABDUL HALIM YAACOB.



TRIVIA berasal daripada perkataan Latin. TRI bermaksud TIGA dan VIA adalah JALAN. Di Rome pada zaman dahulu, di simpang tiga; pertemuan tiga jalan, disediakan sebuah pondok yang dilengkapkan dengan maklumat untuk tatapan umum. Sebahagian penduduk begitu menghargainya, manakala ada golongan yang tidak mempedulikannya dan menganggap ia tidak begitu penting.

Buku ini mengetengahkan perkara-perkara yang remeh temeh dan lazimnya dianggap tidak bererti atau tidak penting.

Pengarangnya lebih dikenali sebagai pelakon terutama menerusi drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Productions dan pernah mengendalikan rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan kini menduduki kerusi Penolong Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN). Sebelumnya pernah menjadi wartawan di Utusan Melayu setelah menjadi stringer untuk daerah Langkawi.

Beliau amat sedar bahawa bukan semua orang pedulikan perkara yang remeh temeh. Oleh yang demikian, sudah pasti mereka akan menganggap bahawa dengan membaca buku ini tentu akan membuang masa.

Namun demikian, bagi golongan spermologer, iaitu gelaran bagi mereka yang gemar mengumpul trivia, buku ini boleh menambah koleksi yang sedia ada.

Usaha mengumpulkan fakta yang diperolehi pengarang sejak beliau masih lagi di bangku sekolah selain menerusi akhbar, majalah, buku-buku dan juga internet tentulah memerlukan ketekunan serta azam bagi membukukannya untuk tatapan umum. Di samping itu beliau juga membuat pengiraan berdasarkan pengamatan terhadap statistik yang dikeluarkan oleh pihak tertentu.

Menerusi segmen-segmen yang meliputi Hiburan, Michael Jackson, Produk, Angka, Bahasa, Di Sebalik Nama, Fakta Menarik Dua Presiden Amerika, Haiwan, Kebetulan, Makanan & Minuman, Manusia, Palindrome, Sejarah, Sukan, Tempat, Tokoh dan Undang-Undang, sebilangan fakta menarik telah disenaraikan dalam buku ini.

Sikap cerewet Charlie Chaplin selaku pengarah sehingga salah satu babak filem City Light (1931) terpaksa diulang sebanyak 342 kali sehingga dia berpuas hati. Juga mengenai gitar pertama Elvis Presley yang berharga USD7.75 kini bernilai lebih USD1 juta.

Barangkali ramai yang perlu tahu bahawa komik Superman yang bernilai USD0.35 (RM1.30) pada tahun 1938 dilelong dengan harga USD317,200 (RM1.1 juta) pada tahun 2009. Begitu juga dengan Ian Fleming yang tercari-cari nama yang sesuai untuk watak perisik ciptaannya yang mahukan nama yang ringkas dan mudah disebut. Akhirnya dia memilih nama James Bond iaitu nama pengarang buku Birds of the West Indies yang sedang dibacanya ketika itu.

Jualan bayam meningkat kepada 30 peratus pada tahun 1931 selepas komik Popeye dilancarkan kerana watak Popeye digambarkan akan menjadi kuat selepas mamakan bayam.

Pengarang tidak ketinggalan memperturunkan masalah yang perah dihadapinya pada tahun 1998 apabila permohonannya untuk membuka akaun e-mel dengan Hotmail ditolak kerana nama bapa Zulkifli mempunyai perkataan ‘mail’. Dia diminta menukar nama bapa (last name) untuk membolehkan dia mendaftar dan akhirnya dia mendaftar dengan menggunakan nama Zulkifli Ahmad (halaman 21).

Fakta dalam segmen Angka seperti yang dipaparkan pada halaman 40 hingga 56 merupakan pembicaraan yang agak menarik untuk dibuat perkiraan serta sebagai maklumat umum.

Jika nombor 111,111,111 didharab 111,111,111 dinyatakan akan mendapat jawapan sebagai 12345678987654321. Manakala jika dicampurkan semua nombor 1 hingga 100 (1+2+3+4….seterusnya) jawapannya adalah 5050. Sementara jawapan untuk nombor 21978 x 4 ialah 87912 iaitu angka-angka berkenaan diterbalikkan. Ada sejumlah 57 fakta yang disenaraikan dalam segmen menarik ini.

Bagi kalangan peminat atau pengkaji sastera, mereka pasti pernah menatap karya yang dihasilkan oleh Rasanubari Asmaramah. Sebenarnya personaliti berkenaan juga ada lagi dua orang saudara kandung yang mempunyai nama unik iaitu Awasilahati Katajariah dan Suasana Mesra Saubi Sabariyah.

Di samping itu banyak lagi maklumat yang terkandung dalam buku yang pada kulitnya memaparkan visual wajah pengarangnya dan telah dilancarkan oleh bekas Presiden SENIMAN, Dato' Mustapha Maarof, pada 11 September 2009 di Dataran Karyawan FINAS.

1 Comments:

At August 21, 2011 at 5:23 AM , Blogger akbajalil said...

Bagi kalangan peminat atau pengkaji sastera, mereka pasti pernah menatap karya yang dihasilkan oleh Rasanubari Asmaramah. Sebenarnya personaliti berkenaan juga ada lagi dua orang saudara kandung yang mempunyai nama unik iaitu Awasilahati Katajariah dan Suasana Mesra Saubi Sabariyah.

Sebenarnya ada seorang lagi adiknya yang saya kenal. Namanya Kasuma Bahari Masjuriah.

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home