Thursday, January 29, 2009

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT
(Belasungkawa buat Samoza)

Citra manusia kaucoretkan lewat titisan pena
semaksima mungkin harapan matlamat dimurnikan
wajar khalayak ambil iktibar bahawa
undang-undang mengamal tanggungjawab
menterjemah kesejahteraan warga dunia
mempertalikan profesion kepolisian yang kautinggalkan .

Sekali sekelumit kesempatan kau kutemui
di Perhimpunan Penulis Muda II Langkawi 1992
lidahku kelu untuk meramahimu
biar kalbuku mengkagumimu mengulas saran
katamu, nak tubuh organisasi penulis,
kalau setakat nak bewoh-bewoh, hentikanlah.

Kudengar kaugabung diri jadi warga pelajar
muncul graduan terbaik Akademi Seni Kebangsaan
khabarnya kau jadi pemandu teksi di Kuala Lumpur
kini kudengar berita kau kembali menemui Ilahi
buat keluargamu, takziah. Kusedekahkan Al-Fatihah
juga segugus doa ke hadiratNya kupanjatkan
semoga santak kiamat rohmu dicucuri rahmat.


# bewoh-bewoh = ungkapan warga Kelantan lebihkurang bermaksud mengadakan kermaian. Warga Kelantan barangkali boleh terjemahkan dengan lebih tepat lagi.

ABDUL HALIM YAACOB (290109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home