Tuesday, April 19, 2011

SECEBIS NOSTALGIA



















SECEBIS NOSTALGIA



SEWAKTU berusia sekitar 10 tahun (1963) kawasan di sekeling rumahku dalam daerah Baling iaitu desa kelahiranku terdapat agak banyak tempurung kelapa yang dibuang begitu sahaja. Lazimnya di bawah longgokan tempurung-tempurung berkenaan menjadi tempat berkumpul anai-anai atau beberapa jenis serangga. Selain daripada itu cacing tanah juga gemar bersarang di situ. Itu adalah salah satu faktor mengapa ayam-ayam sering mencakar bagi membalikkannya untuk mendapatkan makanan.



Suatu pagi aku secara suka-suka membongkar longgokan tempurung tersebut. Tiba-tiba di bawah salah sebuah daripadanya terdapat seekor anak kura-kura dengan cengkerang berwarna kuning tua berlari pantas menuju ke sebuah parit berdekatan yang sentiasa dipenuhi air. Aku jadi tergamam sejurus.



Beberapa hari kemudian aku bermimpi diseret oleh seekor kura-kura besar masuk ke dalam sebuah lubuk di anak sungai yang juga terdapat di desa kelahiranku. Akibatnya aku menjadi trauma untuk menhampiri dan menjejakkan kaki ke dalam anak sungai tersebut apa lagi jika berdekatan dengan tempat-tempat yang terdapat lubuk dalam.



Pada masa itu juga aku pernah dengar beberapa orang dewasa bercerita tentang labi-labi yang dikatakan akan menggigit mangsa terutama manusia. Kononya labi-labi tidak akan melepaskan gigitannya selagi guruh tidak berbunyi. Diceritakan bahawa labi-labi dari sepesis yang dikenali sebagai labi-labi lembik yang menyerupai ikan pari itulah yang gemar menggigit mangsa terutama bahagian kemaluan budak-budak lelaki lebih-lebih lagi kalau dia belum bersunat. Tempat tinggal reptilia berkenaan ialah di dalam lubuk-lubuk yang agak banyak terdapat di anak sungai di desa kelahiranku itu. Ini terbukti kerana beberapa orang yang pergi memancing mendapati umpan di mata kailnya sering ditelan oleh labi-labi lembik.



Oleh yang demikian di zaman kanak-kanak aku menjadi amat takut kepada kedua-dua jenis reptilia berkenaan. Itu kisah di zaman kanak-kanak.



Sewaktu di awal usia remaja sekitar tahun 1968 aku pernah menonton sebuah filem di pawagam berjudul One Million Years B.C. yang dilakonkan oleh antaranya Raquel Welch.



Dalam filem tersebut terdapat seekor penyu gergasi yang amat digeruni menyerupai kura-kura dengan cengkerang berwarna jingga. Lalu aku teringat kepada anak kura-kura yang pernah aku temui lima tahun sebelum itu. Bagaimanapun ingatan itu hanya seketika sahaja kerana aku merasa ghairah dengan perkembangan muzik 60-an yang begitu memuncak ketika itu.



Pada pagi 13.4.2011 sewaktu berjalan (aku hanya mampu berjalan selepas diserang strok mulai 17.9.1999) untuk mengeluarkan peluh, tidak semena-mena terlihat seekor kura-kura yang cengkerangnya tidak hitam seperti reptilia tersebut yang pernah kutemui sewaktu berada di desa sekitar tahun 1960-an hingga pertengahan era 1970 sewaktu aku tinggal di sana. Pada bahagian kepala reptilia tersebut terdapat jalur-jalur berwarna hijau, sementara terdapat jalur merah pada bahagian telinganya seperti ‘tuntung’ yang terdapat di Bota, Perak dan juga di Bukit Pinang 14 km dari Alor Setar. Tetapi aku yakin ia bukan tuntung kerana bentuk reptila yang kutemui itu bujur, sedangkan tuntung hampir bulat. Tertarik kepada reptilia tersebut aku membawanya pulang ke rumah dan mengambil fotonya.



Kura-kura akan menghadapi masalah dan biasnya akan mati bila badannya terlentang dan untuk kembali kepada kedudukan normal adalah amat sukar. Aku cuba untuk menterbalikkan badannya dan kura-kura berkenaan akan berusaha mengelakkannya dengan menggunakan kakinya bila dirasakan badannya senget. Berlainan daripada kura-kura biasa, ia didapati juga berusaha untuk melarikan diri.



Perbualan dengan seorang jiran berkaitan dengan sifat-sifat fizikal reptilia tersebut aku diberitahu bahawa ia bukannya spesis kura-kura sawah. Sebaliknya adalah spesis kura-kura yang tinggal di bukit. Baru aku teringat bahawa di desa kelahiranku dalam daerah Baling ia dipanggil ‘bani’.


Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home