Saturday, November 15, 2008

MAJLIS SUAMWAE ESASTERA ANJUNG UTARA



MAJLIS SUAMESRA eSastera.com ANJUNG UTARA BERJAYA DIREASLISASIKAN.

OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

MESKIPUN perancangannya dibuat dalam waktu yang tidak sampai seminggu, Majlis Suamesra Aidilfitri eSastera.com Anjung Utara berjaya direalisasikan di Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar baru-baru ini.
Lebih menggembirakan kalangan aktivisnya ialah acara ringkas itu turut dihadiri oleh pengasasnya, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas (dirwan) sekalipun beliau difahamkan mempunyai acara lain di Kuala Lumpur.
“Saya terima jemputan ke majlis ini terlebih dahulu sebelum dimaklumkan oleh pihak Badan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) agar menghadiri acara yang juga berlangsung hari ini,” beritahunya ketika ditanya.
Beliau juga menegaskan bahawa SN Dato’ A Samad Said turut mengkagumi eSastera.com yang disifatkan begitu prolifik dalam menyiarkan karya berbanding dengan media konvensional.
“Hanya apa yang dikhuatiri ialah karya-karya yang tidak bermutu juga turut disiarkan selain berlakunya plagiarisma atau kegiatan menciplak karya orang lain,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan agar para aktivis eSastera.com menghindarkan diri dari mengamalkan budaya sedemikian yang dilihat sebagai tidak bermaruah.
Pada acara yang dihadiri oleh seramai 14 peserta itu beliau turut membincangkan mengenai rasional penubuhan jawatankuasa wilayah.
“Objektif utama menubuhkan jawatankuasa eSastera.com peringkat wilayah adalah untuk menggerakkan kegiatan luar talian (off-line) di peringkat tempatan meliputi acara deklamasi puisi, seminar atau forum.
“Setakat ini ia bukanlah berfungsi sebagai sebuah organisasi sepenuhnya tetapi direncanakan agar setiap wilayah akan mempunyai daftar (direktori) keahliannya sendiri yang bebas daripada daftar keahlian eSastera.com,” ujar beliau.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau menegaskan semua ahli boleh mengkategorikan dirinya aktivis di wilayah mana yang dipilihnya.
“Misalnya sekalipun ketika mendaftar sebagai ahli eSastera.com dia berada di Kedah sedangkan negeri asalnya adalah Kelantan, dia akan dikategorikan sebagai ahli di Kelantan.
“Namun jika dia mahu dikategorikan sebagai ahli di Kedah, dia boleh memindahkan namanya dalam direktori sebagai ahli eSastera.com Kedah,” jelas beliau.
Setakat ini, menurut beliau, telah wujud jawatnkuasa di Wilayah Timur dengan Anbakri selaku penasihatnya. Manakala ketuanya ialah Ramy di samping ketua-ketua negeri terdiri dari Kale Mas (Kelantan), Hani Hamsyari (Terengganu) dan Teratai (Pahang).
Dua lagi jawatankuasa yang telah diwujudkan ialah Wilayah Tengah diketuai oleh Rudy Bluehikari dengan dibantu oleh Kalamutiara (Ketua Kuala Lumpur) dan Kerisakti (Ketua Selangor) dan Wilayah Borneo yang diserahkan kepadaNimoiz T.Y selaku Ketua Wilayah tetapi belum dilantik ketua bagi Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Klimantan (Indonesia II).
Pada majlis itu beliau menyatakan persetujuan dengan jenama ‘Anjung’ bagi Wilayah dan selepas ini wilayah esastera akan dikenali sebagai Anjung eSastera.com. Di utara akan dirujuk sebagai Anjung eSastera.com Utarayang diterajui oleh Brirasa dengan dibantu oleh Zaidin Abadi (Ketua Kedah) dan Ahkarim (Penasihat). Manakala ketua Pulau Pinang dan Perlis belum lagi dilantik.
“Bagi tujuan praktikal, oleh kerana negeri Perak menganjur dari utara hingga ke tengah ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Perak I (Anjung Utara) dan Perak II (Wilayah Tengah). Ahli-ahli yang berada di negeri Perak adalah bebas memilih untuk menyertai eSastera.com Perak I atau eSastera.com Perak II.
“Begitu juga, daerah Kalimantan (dilabel Indonesia II) dimasukkan ke dalam Wilayah Borneo,” tambah beliau.
Mengulas mengenai Wilayah Selatan yang meliputi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, beliau menegaskan setakat ini belum ada cadangan atau permintaan ke arah itu.
“Bagaimanapun di sepanjang pengetahuan saya, sudah ada cadangan dari negara di seberang tambak Johor; Singapura yang membayangkan hasrat menerjuinya,” tegas beliau.
Beliau turut membayangkan untuk menggerakkan eSastera.com secara formal mengikut lunas undang-udang pada masa akan datang dan mendaf tarkannya atas nama Persatuan eSastera Malaysia dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Selain itu katanya, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bagi menubuhkan Koperasi eSastera.com bagi maksud memperluaskan aktiviti ekonomi di bidang penerbitan buku, majalah, CD dan sebagainya khusus yang berkaitan dengan sastera serta kegiatannya secara interaktif.
Dalam pada itu perancang majlis itu, Brirasa, melahirkan rasa syukur kerana dapat menjayakan majlis yang pada mulanya dianggarkan bakal dihadiri oleh sekitar 30 orang aktivis eSastera.com di sekitar Alor Setar.
“Ramai aktivis eSastera.com yang berada di luar Kedah seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak umpamanya sukar menyertainya kerana ia diadakan pada hari bekerja dan mereka baru sahaja pulang bercuti bagi menyambut raya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini kalangan aktivis eSastera.com sering mengadakan pertemuan pada setiap hari Selasa jika tiada sebarang halangan Restoran Ahmdiah (hadapan Hospital Alor Setar) yang dikenali sebagai Santai Pokok Ceri (SPC).
Hadir sama ialah aktivis veteran Dato Abdul Halim ‘R’ yang merupakan pemantun yang dinanti-nantikan kehadirannya bersama karya terkini di eSastera.com dan mokhtarahman yang juga kini turut aktif berkarya di ruangan siber.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home