Monday, February 9, 2009

SEJARAH BERULANG LAGI

Sejarah berulang lagi
mengajak direnung catatan fakta
yang pastinya amat nyata.

Sarawak sekitar dekad 1960-an
citara keingkaran Dato’ Stephen Kalong Ningkan
jawatan Ketua Menteri masih disandang
sidang Dewan Negeri segera berlangsung
usul undi tidak percaya dibentang.

Pun demikian pada insiden 1970-an
Dato’ Harun Idris juga serupa
mengambilkira dasar perlembagaan
Dewan Undangan Negeri bersidang
matlamat mengosongkan kerusi.

Berbeza pula DUN Kelantan 1978
undi tidak percaya tumpaskan Dato’ Muhammad Nasir
tetapi dia kekal bertakhta di kerusi Menteri Besar
anehnya tiada pula ungkapan derhaka
tiada kutukan bertele-tele di media
situasi sedemikian menyubur rasa hairan!

Kini ungkapan derhaka dilaung lantang
tapi catatan sejarah seperti dilupai
bahawa permulaannya sudah lama
konon agar serasi tuntutan zaman
perinci dan teliti siapa pencetus angkara.

Iktibar sejarah usah tidak diselami
1946 British bawa gagasan Malayan Union
kedaulatan Raja-Raja Melayu terancam
saranan seumpama pindaan perlembagaan
KETEPIKAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU
tidak jadi laungan provokasi diuar-uar.


ABDUL HALIM YAACOB (060209)
Pinggiran Alor Setar
http://www.sastera.com

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home