Saturday, February 6, 2010

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ
(Bapa Kemerdekaan & Bapa Malaysia)
I
Dilangsungi jurus-jurus jejak kental
menafikan hasrat terbuku di minda penjajah Barat
untuk selamanya mencengkam kuasa di bumi ini
bakal memunggah hasil memenuhi kantung kapitalis
di sana mereka mewah membina prasarana segala
cabaran menanti di mana-mana ruang. Bukan sekelumit
kakimu cekal melangkah. Menongkah jerih arus.

II
8 Februari 1903 di istana engkau diputerakan. Tanpa upacara
kaubukan pewaris singgahsana. Menggendong gelar Awang
lantaran paras jelek jasmanimu. Sedang saudaramu tampan
dan di zaman kanak-kanakmu kenangan manis ditimba
mesra menggauli marhaen – menghendap burung
bermain lastik di luar. Berkubang di lumpur tengik
pernah kakimu menghidap puru berbisa
tanpa kekok pasukan bola sepak kampung kaubentuk.

III
Bermula di Sekolah Melayu Jalan Baharu Alor Setar 1909
cekal kauharungi alam persekolahan belajar bahasa Melayu
berbahasa Siam di rumah. Juga didatangi guru
membimbingmu memahirkan bahasa Inggeris
seawal usia sepuluh tahun bersama kekandamu Tunku Yusuf
1913 Bangkok jadi destinasi – belajar di Sekolah Thebsirintrawat
sebelum melangkah ke Penang Free School 1915
dengan bangga aktif sertai Pengakap selain Kor Kadet.

IV
1919 di usia 16 tahun keberuntunganmu terserlah
namamu terpilih terima Biasiswa Kerajaan Negeri Kedah
memasuki Kolej St Cathrine, Universiti Cambridge
pun keresahan menggugat mindamu tatkala hakmu
menghuni asrama dinafikan kerana fizikal warna kulitmu
lalu kausuburi semaian hasrat memerdekakan Tanah Melayu
agar kedaulatan diperolehi – tertegak ketuanan
setaraf bangsa lain duduk sama rendah berdiri sama tinggi.

V
Ranjau cabaran menggugat pertaruhan nyawa
di Baling English School 28 dan 29 Disember 1955
Rudingan Baling gagal menghentikan tempur senjata
egoisme Chin Peng enggan terima keamanan
korban pertumpahan darah berterusan
31 Ogos 1957 tercapai jua hasrat membuak kalbumu
terburai muslihat kuasa asing mengekal cengkaman
menebus sekian lama luka di jiwa marhaen
merealisasikan penubuhan Malaysia 16 September 1963
Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung serta.

VI
Masih tiada noktah baktimu mencelikkan mata dunia
8 Ogos 1967 lahir ASEAN – Persatuan Negara-negara Asia Tenggara
sebelumnya Pertubuhan Asia Tenggara – ASA coretan idea 1961
1960 Pertubuhan Kebajikkan Islam – PERKIM diasaskan
kau dijulang ke jawatan Presiden menjelang penghujung hayat
1961 kaubangga menguruspimpin negara kerdil
menganjur Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa
kesinambungan gagasan pertandingan tahap negeri Kedah 1951
1969 jadi titik sejarah – muncul Pertubuhan Persidangan Islam – OIC
atas bantuanmu lalu dinobat ke jawatan Setiausaha Agung pertama
tercetus pula idea mewujudkan Bank Pembangunan Islam
bermula 1982 hingga 1988 diangkat Presiden RISEAP.

VII
1977 kaukaut sebahagian besar hak milik The Star. Jadi Pengerusi
nota-nota pengalamanmu lewat Looking Back dan As I See It
di dadanya terpampang jadi telitian umum saban keluaran
di usia 87 pemergianmu tanggal 6 Disember 1990 adalah satu kehilangan
semoga rohmu dicucuri rahmat Illahi. Berbahagia bersama roh para solihin
Al-Fatihah.

ABDUL HALIM YAACOB
23 Januari 2010.
http://www.esastera.com
(Catatan: Puisi ini berdasarkan buku Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra tulisan Ramlah Adam (DBP, KL, 2004)dihasilkan bagi menyertai Pertandingan Mencipta Sajak anjuran Angkatan Sasterawan Nadional Kedah (ASASI)/Arkib Negara Malaysia sempena Majlis Pelancaran Pameran Bergerak Koleksi Khas YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 7 Februari 2010 oleh Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim di Rumah Merdeka, Alor Setrar, Kedah tetapi gagal memenagi sebarang hadiah)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home