Sunday, September 21, 2008

JADIKAN LOKASI MAKAM DAENG PERANI PRODUK PELANCONGAN


JADIKAN LOKASI MAKAM DAENG PERANI PRODUK PELANCONGAN.


Menurut buku Sejarah Kedah oleh Haji Buyong Adil (DBP,KL,1980) di halaman 34 dan 35 terdapat catatan mengenai campur tangan Pahlawan Bugis Lima Bersaudara (PBLB) dalam krisis perebutan takhta di Kedah.
Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Chelak, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Merewah telah berhasil menewaskan angkatan Raja Kecil dari Siak yang membantu adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II merampas kuasa.
Dalam tahun 1136H (1724M) sekali lagi Raja Kechil berhasil merampas semula takhta lalu diberikan semula kepada adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II dan baginda sekali lagi telah meminta bantuan PBLB itu.
Biarpun Raja Kechil berjaya dikalahkan serta diusir, Daeng Parani telah terkorban akibat ditembak tetapi tidak dinyatakan di mana pula lokasi peristiwa itu berlaku dan di mana pula jenazahnya yang hanya dikatakan dimakamkan di Kedah tanpa menyebut secara khusus lokasinya.
Hasil kajian Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), didapati makam berkenaan berada di Kampung Ekor Lubok, Sidam Kanan, Kulim 16 km dari bandar Sungai Petani.
Sekalipun telah lanjut usia, Haji Hassan Che Awang yang lahir pada 7 September 1922 dan pernah menuntut ilmu agama Islam di Kelantan dari tahun 1949 hingga 1957, yang merupakan zuriat Daeng Parani tertua di situ masih kuat ingatan.
“Menurut cerita Allahyarham ayah saya, moyangnya Daeng Parani itu adalah seorang pahlawan yang handal selain pendakwah Islam, penegak kebenaran dan begitu mudah memberi pertolongan apabila diminta.
Itulah sebabnya apabila Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II perlukan bantuannya dia terus membantu sebanyak dua kali sekalipun upah yang dijanjikan ketika meberikan pertolongan awalnya dahulu khabarnya masih terhutang,” katanya.
Menurut penjelasan bapanya yang diperolehi secara lisan, Daeng Parani terkorban kerana tembakan curi di Pinang Tunggal yang terletak kira-kira 5 km dari kampung tersebut setelah gencatan senjata diumumkan.
“Jenazahnya telah dibawa dengan perahu secara sulit tanpa disedari oleh sesiapa termasuk sebilangan pengikutnya lalu dimakamkan di sini yang mana ketika itu masih dipenuhi hutan tebal,” cerita beliau.
Disebabkan bimbang akan terus diburu musuh-musuhnya, mereka mengambil keputusan menghapuskan gelaran nama sekalipun mereka adalah zuriat Daeng Parani yang beristerikan Tengku Aishah iaitu adinda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II.
“Dahulu kampung ini bernama Telok Bagan, kemudian diubah namanya kepada Pantai Sepom dan akhir sekali hingga kini dinamakan pula Kampung Ekor Lubok. Sepom adalah nama lain bagi asam kumbang yang pohonnya terdapat di sini ketika ia mula-mula diteroka dulu,” ujar Haji Hassan selanjutnya.
Ketika diadakan majlis pertemuan zuriat Daeng Perani baru-baru ini, satu pameran artifak yang pernah digunakan oleh Pahlawan Bugis antaranya keris, lembing, badik, tempayan, dokumen-dokumen penting, foto, keratan akhbar dan sebagainya telah diadakan.
Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Kedah (PSMCK), Dato’ Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof menyarankan agar dapat dibina sebuah muzium mini bagi menempatkan bahan-bahan tersebut dengan kaedah yang lebih selamat.
Dalam merealisasikan Koridor Utara (NCER) di mana industri pelancongan dikatakan sebagai sektor penting, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) serta Kementerian Pelancongan sewajarnya tidak terlepas pandang bahawa lokasi makam Daeng Perani berpotensi untuk dijadikan di antara produk penting sementelah PBLB amat berperanan dalam pergolakan politik di Nusantara.
Dengan yang demikian sudah tentulah penduduk setempat yang berjumlah sekitar 300 orang itu turut dapat meningkatkan ekonomi menerusi pelbagai aktiviti seperti industri kampung, hasil pertanian, homestay dan sebagainya.
Turut memenuhi acara ialah Warisan Tarian Tradisional Bugis yang digayakan oleh penari-penari wanita Persatuan Zuriat Almarhum Raja Abdullah (PZARA) yang dibawa dari Selangor.Hadir sama ialah Atace Kedutaan Indonesia, Kolonel M Yunus yang mengakui keturunan Bugis, Timbalan Pengerusi PZARA, Prof Dr Abdullah Ghazali Zakaria (UM) dan Che Hassan Othman (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah

1 Comments:

At December 30, 2008 at 10:52 PM , Blogger edelweiss said...

Salam,

u may want to visit daengperani.blogspot.com

:)

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home