Monday, February 8, 2010

SI BESTARI TERPEDAYA JUGA

SI BESTARI TERPEDAYA JUGA

Si Bestari dalam segala perkara bijak
ke menara gading melangkah
dijulang warga desa kelahirannya
dan dia tersenyum bangga
ceria tergambar di wajah bercerita
tentang tatacara menongkah arus
sewajarnya tanpa jemu
mesti digeluti saban ketika.

Atas kapasiti motivator
Si Bestari ditala ke merata pentas
menjaja diri untuk diteladani
lalu omongan jejak yang dilaluinya
terjangkau ke serata pelosok.

Tiba-tiba tercetus soalan
tentang pencapaian cemerlangnya
dalam matematik dan sejarah
kedua-duanya konon perlu mahir
mencatur angka di semua arah.

Si Bestari terbeliak. Tergamam
bahawa dia juga terpedaya rupanya
keagungan Kerajaan Melayu Melaka
cuma seabad lebih sedikit tertegak
di asaskan 1409 – kecundang 1511
hampir lima abad kuasa asing cengkam negara
dongeng lima bersaudara Hang Tuah
konon dengan Taming Sari bertikam
di Majapahit yang sekian lama lenyap
slogan ‘Tak Melayu Hilang Di dunia’
dilaung saban ketika tanpa segan silu
sesudah lima dekad cengkaman penjajah terbebas
lantang ke seluruh jagat dilaung keagungannya
tapi Bahasa Melayu bakal terpinggir

Si Bestari malu amat ketika mengenali
pencetus soal bekas rakan sedarjahnya
kandas menapak ke menara gading
lantas menukar laluan. Ke persantren
seadanya memungut bekalan ilmu
jambatan menuju akhirat.

ABDUL HALIM YAACOB (06022010)
Taman Purnama, Alor Setar.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home