Monday, September 22, 2008

MENTERI BESAR KEDAH KAGUMI KOPEN




KOPERASI Serbaguna Penulis Utara Malaysia Berhad (KOPEN) yang ditubuhkan pada tahun 1986 pernah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Kedah menyelenggarakan penerbitan lidah resminya, Warta Darul Aman (WD) selama 15 tahun mulai 1988 hingga diberhentikan pada bulan Oktober 2003.

Biarpun hanya memiliki modal saham berjumlah RM 58,000, KOPEN dengan bilangan ahli berjumlah 181 orang, KOPEN merupakan berupaya meneruskan aktiviti perniagaan sejajar dengan hasrat penubuhannya iaitu ke arah meningkatkan ekonomi kalangan penulis.

Keanggotaannya pula bukanlah khusus bagi para penulis yang dilahirkan di Kedah dan Perlis semata-mata, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang bermastautin di kedua-dua negeri berkenaan.

Baru-baru ini seramai lima orang Ahli Lembaga Koperasi (ALK) telah mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Haji Azizan Abdul Razak di pejabatnya di Wisma Darul Aman.
Matlamat utama kunjungan ALK yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Haji Othman L Saad bersama Dato Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof, Haji M Z Halim Hassan (Setiausaha), Haji Samsudin Mohd Said (Bendahari) dan Abdul Halim Yaacob yang turut disertai oleh Pengarah Suruhanjaya Haji Zainon Hamzan Stapa itu di samping untuk merapatkan tali silatulrahim, juga menjelaskan aktiviti koperasi.
Di sepanjang pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu, Datuk Othman telah menjelaskan aktiviti asas KOPEN berkaitan dengan bidang pra-cetak dan percetakan.
“Oleh yang demikian, kami berharap andainya ada sebarang bahan bercetak hendak dilakasanakan ditawarkan kepada KOPEN untuk disempurnakan,” katanya.

Aktiviti lain yang juga dijalankan meliputi bidang-bidang penerbitan dan pengedaran buku, rekabentuk dan rekaletak, majalah, bulletin, brosur, logo, kad nama, type setting, scaning, handbill, invois, resit dan banyak lagi.
Di masa lalu ketika diterajui oleh Haji Md Noor Salleh (Noorjaya), katanya, Kerajaan Negeri Kedah lazimnya mendapatkan khidmat KOPEN bagi menyelenggarakan bebera penerbitan ke arah memperkenalkan anggota pentadbir Kerajaan Negeri Kedah.
“Antara buku-buku yang pernah diselenggarakan penerbitannya ialah Adun Kita ’86, Pemimpin Kita ’90, Mahathir Di Mata Umum dan yang terbaru ialah Sejarah Menteri-Menteri Besar Kedah,” tegas beliau.
Dato Seri Azizan melahirkan rasa kagum terutama berkaitan dengan penyelenggaraan penerbitan WD oleh Kopen yang mengandungi pelbagai maklumat dan pernah menjadi sumber rujukan pelbagai pihak termasuk Pusat Pengajian Tinggi (PPT).
“Sayangnya cadangan untuk meneruskan penyelenggaraan seperti yang dicadangkan itu agak terlewat kerana pada masa ini Kerajaan Negeri Kedah telah mengikat perjanjian dengan sebuah agensi swasta untuk menguruskannya selama dua tahun,” ujar beliau.
Berhubung dengan cadangan KOPEN untuk menyelenggarakan penerbitan Album Menteri Besar KedahKe-11 Termasuk Anggota Exco 2008 untuk dicetak sebanyak 2,000 naskhah itu, beliau mencadangkan agar ia ditangguhkan buat sementara.
“Sebenarnya bukanlah kita tidak berminat untuk membukukan bahan-bahan itu, tetapi pada masa ini peruntukan cuma tinggal satu pertiga apabila ia diambilalih pada bulan Mac 2008 dahulu dan terpaksa dijimatkan sehingga ke penghujung tahun kelak,” tegas beliau.
Beliau membayangkan cadangan itu adalah amat baik dilaksana kerana segala maklumat boleh diperolehi terus daripada barisan pentadbir yang ada kerana jika ditulis setelah mereka itu tiada lagi dikhuatiri ada percanggahan.
“Hal ini pernah berlaku apabila kitab Injil ditulis kira-kira 300 tahun selepas ia diturunkan menyebabkan wujud percanggahan yang cukup ketara di antara satu versi dengan versi yang lain,” katanya.
Beliau turut membayangkan untuk menyediakan maklumat guna mempromosikan Durian Burung dekat Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap sebagai destinasi pelancongan.
“Kita mahu supaya para pengunjung ke Kedah menjadikannya sebagai tempat membeli belah dan tidak perlu menyeberangi sempadan bagi maksud tersebut seperti yang sedang berlaku sekarang bila mereka mengunjungi Bukit Kayu Hitam,” tambahnya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home