Wednesday, September 24, 2008

1136 MASEHI

























1136 MASEHI

Natijah usang masih kita rujuk
rantaian agenda kolonial
masih samar jawapan tekateki
dan pernah kita diperbudakkan
kini tidak lagi jadi pedoman.

Pelbagai penemuan bukti bercerita
(pusara di Tanjung Inggeris, Langgar
tertera di nisan aksara Arab:
Rabiulawal 291 Hijrah/904 Masehi
“Syeikh Abdul Qadir Ibni Husin Syah Alirah”)


catatan artifak abad Masehi sembilan
(inskripsi “Ibni Sirdhan 214H/829M”,
matawang Dinasti Abbasiyah – Khalifah
Al-Mutwakkil: 847 – 861M)
kita bongkar kisah silam tersorok
lantas nafikan kutipan lapuk Winstedt
bukan mengenepikan Sejarah Melayu
buah tangan tersohor Tun Seri Lanang.

Berlatar Gunung Jerai tersergam
di kejauhan tampak saujana kemuncak
pedoman para pelayar bertandang
bumi subur jadi persinggahan dagang
terjelma Tamadun Lembah Bujang.

1136 Masehi bersamaan 531 Hijrah
Abdullah Al-Qumairi Islamkan Derbar Raja
sekali gus menggelarnya Dar Al-Aman
usah ragu sewajarnya tegas mengakui
resmi Islam rakyat seluruh negeri
nama baru Sultan Muzzafar Shah
daulat baginda merata pelusuk dicanang.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar 240708

*Berdasarkan kertas kerja Dato’ Wan Shamsudin Mohd Yusof dibentang di Seminar Perkembangan Islam Negeri Kedah Darul Aman, 8 Julai 2008, di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home