Saturday, May 29, 2010

BUKAN AKU BERMIMPI



BUKAN AKU BERMIMPI


Bukan aku bermimpi barangkali
pasti juga tidak keliru menatap keyataan
patah demi patah ungkapan
berkali-kali menerjah kuping
tentang produk terlarang
yang kini entah akur fatwa mana
telah jadi halal meski dibantah.


Laungan slogan bergema bertali arus
tersemat rukun Gagasan 1 Malaysia
“Pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan!”

Bukan aku bermimpi tentang kehebatan
negaraku memartabatkan Islam
serata jagat citranya dicanang bertalu-talu.


Bukan aku bermimpi setiap hari
dengan yakin kumohon petunjuk Ilahi
terus melangkah di jalan lurus
bukan jalan yang dilalui oleh mereka
yang nyata zalim. Semoga dimakbulkan.


ABDUL HALIM YAACOB (29052010)
Taman Purnama, A Setar.

Thursday, May 27, 2010

TRIVIA: Himpunan Fakta Remeh Temeh Yang Akan Membuang Masa Anda

Judul Buku: TRIVIA.

Pengarang : ZULKIFLI ISMAIL.

Penerbit : MALINDO PUBLICATIONS, KUALA LUMPUR.

Tahun : 2009

Tebal : 255 muka.

Harga : SEMENANJUNG RM 20, SABAH/SARAWAK RM23.

ISBN : 9789675394300.

Pengulas: ABDUL HALIM YAACOB.



TRIVIA berasal daripada perkataan Latin. TRI bermaksud TIGA dan VIA adalah JALAN. Di Rome pada zaman dahulu, di simpang tiga; pertemuan tiga jalan, disediakan sebuah pondok yang dilengkapkan dengan maklumat untuk tatapan umum. Sebahagian penduduk begitu menghargainya, manakala ada golongan yang tidak mempedulikannya dan menganggap ia tidak begitu penting.

Buku ini mengetengahkan perkara-perkara yang remeh temeh dan lazimnya dianggap tidak bererti atau tidak penting.

Pengarangnya lebih dikenali sebagai pelakon terutama menerusi drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Productions dan pernah mengendalikan rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan kini menduduki kerusi Penolong Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN). Sebelumnya pernah menjadi wartawan di Utusan Melayu setelah menjadi stringer untuk daerah Langkawi.

Beliau amat sedar bahawa bukan semua orang pedulikan perkara yang remeh temeh. Oleh yang demikian, sudah pasti mereka akan menganggap bahawa dengan membaca buku ini tentu akan membuang masa.

Namun demikian, bagi golongan spermologer, iaitu gelaran bagi mereka yang gemar mengumpul trivia, buku ini boleh menambah koleksi yang sedia ada.

Usaha mengumpulkan fakta yang diperolehi pengarang sejak beliau masih lagi di bangku sekolah selain menerusi akhbar, majalah, buku-buku dan juga internet tentulah memerlukan ketekunan serta azam bagi membukukannya untuk tatapan umum. Di samping itu beliau juga membuat pengiraan berdasarkan pengamatan terhadap statistik yang dikeluarkan oleh pihak tertentu.

Menerusi segmen-segmen yang meliputi Hiburan, Michael Jackson, Produk, Angka, Bahasa, Di Sebalik Nama, Fakta Menarik Dua Presiden Amerika, Haiwan, Kebetulan, Makanan & Minuman, Manusia, Palindrome, Sejarah, Sukan, Tempat, Tokoh dan Undang-Undang, sebilangan fakta menarik telah disenaraikan dalam buku ini.

Sikap cerewet Charlie Chaplin selaku pengarah sehingga salah satu babak filem City Light (1931) terpaksa diulang sebanyak 342 kali sehingga dia berpuas hati. Juga mengenai gitar pertama Elvis Presley yang berharga USD7.75 kini bernilai lebih USD1 juta.

Barangkali ramai yang perlu tahu bahawa komik Superman yang bernilai USD0.35 (RM1.30) pada tahun 1938 dilelong dengan harga USD317,200 (RM1.1 juta) pada tahun 2009. Begitu juga dengan Ian Fleming yang tercari-cari nama yang sesuai untuk watak perisik ciptaannya yang mahukan nama yang ringkas dan mudah disebut. Akhirnya dia memilih nama James Bond iaitu nama pengarang buku Birds of the West Indies yang sedang dibacanya ketika itu.

Jualan bayam meningkat kepada 30 peratus pada tahun 1931 selepas komik Popeye dilancarkan kerana watak Popeye digambarkan akan menjadi kuat selepas mamakan bayam.

Pengarang tidak ketinggalan memperturunkan masalah yang perah dihadapinya pada tahun 1998 apabila permohonannya untuk membuka akaun e-mel dengan Hotmail ditolak kerana nama bapa Zulkifli mempunyai perkataan ‘mail’. Dia diminta menukar nama bapa (last name) untuk membolehkan dia mendaftar dan akhirnya dia mendaftar dengan menggunakan nama Zulkifli Ahmad (halaman 21).

Fakta dalam segmen Angka seperti yang dipaparkan pada halaman 40 hingga 56 merupakan pembicaraan yang agak menarik untuk dibuat perkiraan serta sebagai maklumat umum.

Jika nombor 111,111,111 didharab 111,111,111 dinyatakan akan mendapat jawapan sebagai 12345678987654321. Manakala jika dicampurkan semua nombor 1 hingga 100 (1+2+3+4….seterusnya) jawapannya adalah 5050. Sementara jawapan untuk nombor 21978 x 4 ialah 87912 iaitu angka-angka berkenaan diterbalikkan. Ada sejumlah 57 fakta yang disenaraikan dalam segmen menarik ini.

Bagi kalangan peminat atau pengkaji sastera, mereka pasti pernah menatap karya yang dihasilkan oleh Rasanubari Asmaramah. Sebenarnya personaliti berkenaan juga ada lagi dua orang saudara kandung yang mempunyai nama unik iaitu Awasilahati Katajariah dan Suasana Mesra Saubi Sabariyah.

Di samping itu banyak lagi maklumat yang terkandung dalam buku yang pada kulitnya memaparkan visual wajah pengarangnya dan telah dilancarkan oleh bekas Presiden SENIMAN, Dato' Mustapha Maarof, pada 11 September 2009 di Dataran Karyawan FINAS.

Wednesday, May 19, 2010

WAYANG




WAYANG


Di atas kelir tumpah bebayang boneka
rancak beraksi melantun katabual
sejak mula santak persembahan berakhir
jarang amat khalayak bangkit pertikai
bahawa setiap ungkapan milik dalang
yang bersimpuh di sebalik kelir.


Pun khalayak tidak rasa terpedaya
wayang sekadar buat bersantai
menghapus segala penat berkeringat
tanpa henti banting empat kerat tulang
demi sesuap nasi - secebis hiasan di tubuh
juga pendidikan mensejahterakan hidup muka.


Tiba-tiba dalang menukar naskhah
berbaur dusta semasa - luar biasa
khalayak jadi bingung terpisat-pisat
melontar persoalan logika saintifik
tidak semena-mena selera jadi mual
dan permainan belum tamat.




ABDUL HALIM YAACOB (20052010)
Pinggiran Taman Purnama, A Setar.


http://www.esastera.com/

Sunday, May 16, 2010

CETERA CUCUKU

CETERA CUCUKU


Detik 4 Januari 2010 kukira bersejarah
cucu sulungku jadi warga darjah satu
ditabal ke jawatan ketua darjah
sejurus persekolahannya terbantut
dijengah demam tanpa bertangguh
tanpa rela jawatan terpaksa dilucut.


Hilang ceria di wajahnya sekembali ke sekolah
dengan nada sayu diajunya pertanyaan:
“kenapa ibu tak jadi cikgu?”

Anak seorang guru mengganti tempatnya
di hatiku sebesar harapan membenih
cucuku menghormati kerjaya guru
semoga berkekalan sepanjang waktu.



ABDUL HALIM YAACOB (15052010)
Pinggiran Tmn Purnama, A Setar.
www.esastera.com.


Wednesday, May 12, 2010

BARANGKALI

BARANGKALI

Di benak khalayak subur bercambah
benih-benih pertanyaan mempertikai
sepi suara para penyebar fatwa
yang sebelumnya galak melontar teguran
agar rakyat usah terjerumus.

Barangkali nas sahih belum ditemui
guna menyanggah kerangka rencana
yang bakal diputuskan mencari dalil
menghalalkan amalan ghairah berjudi.

Barangkali juga kaedah sedang dirumus
untuk membolehkannya diharuskan
agar judi membudaya di tengah khalayak
biar apa jua anutan atau fahaman.
ABDUL HALIM YAACOB (11052010)
Taman Purnama, A Setar.

Saturday, May 8, 2010

USAH RASA TAKUT


USAH RASA TAKUT

Seketika terkenang ke masa silam
ketika aku masih mentah. Ke situ
sebilangan warga desaku sering kunjungi
semata-mata ingin merasa kaya harta
lalu membeli helaian kertas
di atasnya tertulis angka-angka
kemudian kukenal itulah loteri haram.

Setahuku tidak pernah wujud loteri halal
tiada bukti pengamalnya jadi kaya
sekalipun hampir setengah juta dimenangi
perolehan wangnya kemudian lupus
dia kembali papa lara merempat
warga jiwa kacau. Jenayah meningkat.

Kini parlimen bakal halalkan
usah rasa takut. Tiada dosa menanti
andai berada di bawah naungan
mazhab satu Malaysia
yang saban ketika dilaungkan.

ABDUL HALIM YAACOB (08052010)
PINGGIRAN TAMAN PURNAMA, A Setar.
www.esastera.com

HANYA UCAPAN TAKZIAH


HANYA UCAPAN TAKZIAH?

Memadaikah ucapan begitu dihulur?
inilah pertanyaan membuak di serata pelosok
wacana gelabah bersenandung
saban waktu terpancar lewat segmen berita di kaca tv
bergema audio di corong radio
menjawab suara pembelaan di alam maya.

20 das hujanan peluru mewarnai trauma
semestinya membenih di jiwa seorang remaja
di kalbu bertunas subur tekad membela rakan
yang di depan matanya nyawa melayang
tersembam di ribaan berlumuran darah merah
pada usia yang tidak wajar dilabel penjenayah
.

ABDUL HALIM YAACOB (07052010)
PINGGIRAN TAMAN PURNAMA, A SETAR

Thursday, May 6, 2010

ASET DARI RAHIM

ASET DARI RAHIM

Sebesar syukur kurniaan amanah Ilahi
menjelang tiba penantian seratus hari
lalu tidak semena-mena ia sudah ditempah
celaru dan bingung mental menjejak punca
harapan tidak semena-mena tersasar
kedatangan amanah tidak menjjadi realiti
rupanya ada pihak menanam benih rezeki
tatkala wujud embrio di rahim si isteri.

Di kolam benakku beputar tandatanya
siapa sewajarnya dipikulkan tanggungjawab?
tuntutan dana mengujakan barangkali!
bertunas aset niaga di rahim seorang ibu.

ABDUL HALIM YAACOB (04052010)
PINGGIRAN TAMAN PURNAMA, A SETAR.
www.esastera.com

Saturday, May 1, 2010

JEJAK SILAM




JEJAK SILAM

Masih basah jejak-jejak di laluan denai
masih berbekas parut luka silam
dan peritnya masih terasa.

Tiba-tiba dentuman halilantar menterjemah
meggunggat resah kalbu
sekalian bangsa usah seribu bahasa membisu
sewajarnya bangkit bersuara.

Kesedihan belum reda
masih dibasahi air mata
masih panas ceritera itu
diperkatakan tiap insan
warga bumi bertuah.


ABDUL HALIM YAACOB
PINGGIRAN TAMAN PURNAMA, A. SETAR
(29042010)

www.esastera.com