Thursday, July 31, 2008

DOMBA

DOMBA

Kiranya hujan mencurah
resah di kalbunya
rona tubuh bakal luntur
menyerlah tembelang kesumat
fitnah dan dusta terdedah!

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar 290708.

Tuesday, July 29, 2008

HUJAN AKAN TURUN?

HUJAN AKAN TURUN?

Gugus mega menyatu
langit zulmat
sesekali kilat memancar
sayup guruh mengaum
gusar kalbu sekawan kambing
bumbung kandang uzur
tiang lantai mereput
kelak bawa musibah
“Kita robohkan kandang uzur itu
dirikan yang baru!”
semua terpinga.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar 280708.

Sunday, July 27, 2008

MENCEKIK

MENCEKIK

Buang najis tengah jalan
adakah sesiapa mahu mengaku?
Benang andai basah
nyata mahu terus ditegakkan
pelbagai helah diungkap
meski realiti haluan menyimpang .

Sesudah lima dekad di zon selesa
ruang memampat kantung tampak lebar
peduli apa derita jelata di pelusuk desa?

Lancar bergema ungkapan
“Tukar gaya hidup”
“Berbelanja apabila perlu”
“Boikot jika harga barang tinggi”
senang amat penyuara retorik
lidah bercabang tidak bertulang .

Kehidupan kini amat mencekik.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (270708)

PANAS MASIH BAHANG

PANAS MASIH MEMBAHANG

Panas masih jua membahang
dengan bantuan angin perkasa
membakar daun kering segala
perhumaan dibaja subur
lalu jagung yang ditugal
diganti padi dan mahal harga.

Kerana padi berharga
jadi rebutan di zaman mutakhir.

ABDUL HALIM YAACOB
UUM, Sintok (260708).

MENCEKIK

MENCEKIK

Buang najis tengah jalan
adakah sesiapa mahu mengaku?
Benang andai basah
nyata mahu terus ditegakkan
pelbagai helah diungkap
meski realiti haluan menyimpang .

Sesudah lima dekad di zon selesa
ruang memampat kantung tampak lebar
peduli apa derita jelata di pelusuk desa?

Lancar bergema ungkapan
“Tukar gaya hidup”
“Berbelanja apabila perlu”
“Boikot jika harga barang tinggi”
senang amat penyuara retorik
lidah bercabang tidak bertulang .

Kehidupan kini amat mencekik.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (270708)

Monday, July 21, 2008

DURI DURJANA

DURI DURJANA.

Bangsaku. Lama menuntut merdeka
menjelajah simpangsiur laluan berliku
meranduk derita. Kini terlepas jerutan kuasa asing
masih bertapak legasi orientalis. Helah globalisasi
memperhamba minda tanpa henti.

Andai terlanjur bicara. Maaf ayahanda
masih tajam duri durjana penjajah
perkasa. Menusuk sanubari warga
yang dijanjikan sejahtera. Kononnya.

Penjarah bangsa dalam daging menduri
pedulikan resah menghimpit terus
dapur tidak berasap. Tiada sebutir garam
bakal tiba bencana kebuluran menimpa warga
hakikatnya seperti dulu. Masih setia rakyat
merealitikan. Kita menggenggam cita-cita.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (120708)

Wednesday, July 16, 2008

RODA SEJARAH

RODA SEJARAH

Atas paksi melenium baru
seisi jagat termangu keliru
di dunia tanpa sempadan
tentunya dalam pelbagai bahasa
pantas warta tersebar
memutar roda sejarah.

Permainan siapakah ini?
Sedikit jua tidak rasa jengkel
kunyah daging saudara sendiri.

Aduh
betapa jahil insan terkini
kononnya tinggi tamadun
menggenggam segulung ijazah
produk PPT tersohor luar negeri.



ABDUL HALIM YAACOB
Pingiran A Setar, 160708.

Sunday, July 13, 2008

SUARA

SUARA


Masih kudengar lantunan suara lantangmu
dengan iringan merdu alunan seruling
memercikkan rona-rona amarah jelata
tersembunyi makna disebalik ungkapan bergula.

Ya…
suaramu seperti dulu
melengking tajam menikam sukma
sesekali keras nada kemudian lunak melankolik.

Masih berpaksi lantunan suara itu
menerjah segenap pelosok
bergema berselang tingkah menutur butiran.
lantang menghurai hujah.

Menelitinya menuntut kebijaksanaan
sebaik mungkin berhati-hati.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar, 140708.

Tuesday, July 8, 2008

PROTAGONIS

PROTAGONIS


Di pentas masih berlangsung
adegan tangkas sang sutradara
tanpa naskhah melontar ungkapan
bertingkah katabual.

Andai Shakespear masih hidup
pasti kagum menonton
episod mutakhir ini!

Khalayak bingung mentafsir
siapa protagonis?
siapa antagonis?

Seketika
derita dilupai
setelah kantung perut
diisi sarap duka.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A. Setar (040708)

Monday, July 7, 2008

KITA KETINGGALAN BAS

KITA KETINGGALAN BAS

Sudah ketinggalan bas rupanya kita
tatkala kenderaan tidak lagi diguna
berhabuk terbiar di garaj
sejak melonjak harga minyak
tangki bahan bakarnya kering
lalu dengan keringat kita basahkan baju
tenaga tulang empat kerat dimanfaatkan
tatkala kita berpergian ke mana-mana.

Tiba-tiba duka yang bergayut di kalbu
melayang pergi ketika kita singgah
mempamer barangan di perjalanan
andai kita bercerita
tentang melenium lampau
menegah ini barangkali
rasa lucu segera menjengah.

Andai kita terlewat tiba
majikan usah berang
kita ketinggalan bas.

ABDUL HALIM YAACOB
A Setar (070708)

Friday, July 4, 2008

KITA DIMANGSAKAN

KITA DIMANGSAKAN

Setelah diperbodohkan
kita teraba-raba dalam gelita
mencari haluan lalu karam
sedang perit berterusan.

Lewat permainan itu
kita dimangsakan
menjadi kian bingung.

Akhirnya kita terjerumus
dalam arus ganas karam
disambar ombak menggila
entah bila kembali reda.

ABDUL HALIM YAACOB
A Setar (050708)

Thursday, July 3, 2008

PESAFIR

PESAFIR.


Sepanjang kembara silamku
untuk menikmati merdu alun suara
lalu kujengah laman indah mahligaimu
memetik kuntum kenangan.

Rindu seakan menggamitku
menafsir naluri seorang pesafir
saban ketika berkhayal
pantas menyusun madah.

Maaf kiranya aku keterlaluan
sewenang mengungkap bicara:
.- meminta pada yang ada
- merajuk pada yang kasih
- merindu pada yang jauh
- pada siapa ingin bermanja?

Seketika terleka
aku hanyalah seorang pesafir
kerdil juga hina.



ABDUL HALIM YAACOB
A Setar, 4.7.2008.

Wednesday, July 2, 2008

RUMAH

Ini rumah kita dirikan bersama
dahulu berpesta penghuni
meriah alunan seruling
lantang memadu cita
begitu mudah di tinggalkan
kini sepi bungkam
semak meliar.

Ini rumah tiba-tiba menggamit ingatan
jejak kembali memakmurkannya
kenapa kita masih gelandangan
mencari halatuju.

Di rumah itu
antara kita
tiada sengketa sebenarnya.


ABDUL HALIM YAACOB, Alor Setar.
26.06.2008.

Tuesday, July 1, 2008

WAYANG

WAYANG.

Betapa dungunya aku
khalayak di gelita pentas wayang
mentafsir ungkapan bebayang boneka
sebalik kelir miliknya sebenar.

Akhirnya terhimpun makna tersirat
kian aku mengerti segala kebenaran
tiap patah katabual dilontar dalang
seakan boneka berbicara.

Lama mindaku keras berfikir
kiranya sindrom kelu
tiba-tiba mendatangi dalang
anggotanya lalu lumpuh
pentas wayang pasti sepi
tiada lagi bicara boneka.

ABDUL HALIM YAACOB
A Setar, 2.7.2008.