Saturday, January 31, 2009

SYABAS TAYYIP RECEP ERDOGAN

SYABAS TAYYIP RECEP ERDOGAN

Kerana ingin kausambung tingkah Muntadar al-Zehdi
melontar sepatu ke wajah algojo Shimon Peres
seperti yang diterima Gegorge W Bush terdahulu
lalu kaugabung diri di Forum Ekonomi Dunia
kelangsungan sidang di Davos, Switzeland kecoh
tatkala kautinggal majlis dengan secalit kecaman
kedurjanaan Zionis yang terus angkuh mengganas.

Syabas Tayyip Recep Erdogan
masih bersopan tingkahmu sebenarnya
warga Turki bingkas bangga atas sikapmu
seluruh jagat seterusnya menyanjungmu, pasti
serentak mengutuk layanan David Ignatius
pengerusi sidang yang berat sebelah
hanya kerana kau memihak umat Palestin
citra manusia bertamadun alaf ini, kononnya.


ABDUL HALIM YAACOB (310109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Thursday, January 29, 2009

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT
(Belasungkawa buat Samoza)

Citra manusia kaucoretkan lewat titisan pena
semaksima mungkin harapan matlamat dimurnikan
wajar khalayak ambil iktibar bahawa
undang-undang mengamal tanggungjawab
menterjemah kesejahteraan warga dunia
mempertalikan profesion kepolisian yang kautinggalkan .

Sekali sekelumit kesempatan kau kutemui
di Perhimpunan Penulis Muda II Langkawi 1992
lidahku kelu untuk meramahimu
biar kalbuku mengkagumimu mengulas saran
katamu, nak tubuh organisasi penulis,
kalau setakat nak bewoh-bewoh, hentikanlah.

Kudengar kaugabung diri jadi warga pelajar
muncul graduan terbaik Akademi Seni Kebangsaan
khabarnya kau jadi pemandu teksi di Kuala Lumpur
kini kudengar berita kau kembali menemui Ilahi
buat keluargamu, takziah. Kusedekahkan Al-Fatihah
juga segugus doa ke hadiratNya kupanjatkan
semoga santak kiamat rohmu dicucuri rahmat.


# bewoh-bewoh = ungkapan warga Kelantan lebihkurang bermaksud mengadakan kermaian. Warga Kelantan barangkali boleh terjemahkan dengan lebih tepat lagi.

ABDUL HALIM YAACOB (290109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Wednesday, January 28, 2009

RENTETAN DUKA

RENTETAN DUKA

Pepatah wariskan ungkapan keramat
musuh jangan dicari
tapi ia datang membawa rentetan duka
saban hari hempap warga Palestin
tanpa mengira usia
tanpa mengira jantina.

Pepatah terus bersabda penuh hemat
bala hendaknya dihindar
warga Palestin terus derita
terlonta-lonta tanggung perit kepalang
angkara manusia angkuh konon bertamadun
membela hak asasi makhluk sejagat.

Lagi pepatah melaung nyaring
berkawan biar seribu
awas antaranya ada seteru
bersekutu dengan musuh mengganyang kawan
bercanggah ideologi lalu hunus senjata
dari belakang menikam.

ABDUL HALIM YAACOB (280109)
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Tuesday, January 27, 2009

SESUDAH NAMAMU DIPILIH

SESUDAH NAMAMU DIPILIH

Sesudah namamu dipilih, Obama
jasadmu terhantar ke pundak kuasa
masih awal janjimu dituntut lunaskan segera
paling membosankan kirannya segala
di lautan impian karam akibat warisan legasi.

Pada detik awal ini, Obama
merata teka-teki pijar ligat berlegar
ke setiap pelosok alam jejak jelajahmu pasti
menjaja rencana membaikpulih nama negara
seperti katamu kemurniannya kian tercemar.

ABDUL HALIM YAACOB (260109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Monday, January 26, 2009

BENIH KESUMAT

BENIH KESUMAT


Benih kesumat kini ditugal terus
di permatang kelangsungan sengketa
dua puak bebeza ibu sesamanya bercakaran
celakanya kuasa asing mendalang
Gaza jadi makmal uji senjata.


Sekian lama jalur zuriat Ibrahim a.s .
sepihak Sarah dan sepihak Hajar
menyubur perbalahan mengaku
panji-panji mulia milik mereka
berterusan gelojak rasa marah .

Apakah kita hanya menyepi?
Berpeluk tubuh menonton
perlakuan durjana kuasa asing
melangsungkan sorak sorai
menjaring kesempatan
mengaut hasil perut bumi.



ABDUL HALIM YAACOB (220109)

Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Sunday, January 25, 2009

AL-FATIHAH DAN DOA


AL-FATIHAH DAN DOA
(Belasungkawa buat SN Arenawati)

Masih kuingat pagi 17.9.1988 di Kuala Lumpur
di Dewan Bahasa dan Pustaka seorang rakan kutemui
kepadaku dipamer cebisan nota rapi bertaip
lantas dengan bangga beria-ia dia mengungkap:
“Tengok ni, Pak Arena kritik sajak aku.
Nasihatnya, minimakan imbuhan baru punch.”

Tanpa sepatah bicara kutatap cebisan nota
sepatah demi sepatah kukunyah karya mentah itu
meresap rasa kagum – dalam sekelumit waktu
Pak Arena sebelumnya minum semeja denganku
berbual topik di arena yang digelumanginya
memberi selaut ilmu yang di mindaku masih segar.

Ahad 25.1.2009 lewat pancaran di kaca tv
tersayat pilu di kalbu mendengar khabar:
SN Arenawati kembali ke Rahmatullah
lalu aku kembali teringat pernyataannya
di pinggir lebuhraya ditanam berjajar pohon jati
sedang sebelumnya sama sekali aku jahil mengenalnya
sedang aku lahir di pinggir belantara daerah ulu.

Terima kasih Pak Arena kerana memberiku ilmu
kelak sebanyak sedikit akan kumanfaatkan
kepada rohmu ku sedekahkan Al-Fatihah
doaku ke hadirat Ilahi moga-moga dicucuri rahmat.

ABDUL HALIM YAACOB (260109)
Pinggiran Alor Setar

http:/www.esastera.com

Saturday, January 24, 2009

SANDIWARA BADUT

SANDIWARA BADUT

Kupingku saban hari diterjah lunak irama silam
dendangan indah lagu BAHASA JIWA BANGSA
tiba-tiba terasa lucu di kalbu menghayati jenaka
sandiwara pemimpin bangsa yang kini jadi pelupa
di alaf lalu perit perjuangan bertarung nyawa
di lipatan sejarah terukir catatan ugutan peluru.

Betapa durjana berbaur laknat
bangsaku pernah melaung kata keramat
TAK MELAYU HILANG DI DUNIA
kepada rajanya MELAYU PANTANG DERHAKA
lunaklaku berhemah ditopengi wajah badut
di pundak kedaulatan meletak telapak kaki.

ABDUL HALIM YAACOB (240109)
Pinggiran Alor Setar
http://asalbayu-kutipan.blogspot.com

Wednesday, January 21, 2009

LELAKI TERKUTUK

LELAKI TERKUTUK

Terakhir cenderamata persaraan disampaikan
seisi jagat media pamer visual balingan sepatu
seorang lelaki pergi bersama sebeban kutukan
terukir kekal di wajahnya kebencian insan waras
ungkapan umpat keji sekalian umat bertele-tele.

Kini di muzium sejarah namanya tersenarai
berserta catatan penganjur perang tersohor
ketika di pundak kuasa terisi agenda konon
membasmi keganasan saban waktu diproklamasi
meski bukti kewujudannya sering dipertikai.

ABDUL HALIM YAACOB (210109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Tuesday, January 20, 2009

BERSUARALAH

BERSUARALAH

Gemerlap sinar zaman kian pudar
angkara nafsu rakus terkini
kecemerlangan akal ditimbus
sekali gus musnah tamadun
mencalar imej akliah
bersuaralah selagi termampu.

Begitu citra mutakhir manusia
terjebak di alam kebinatangan
sedang suara lantang melaung
jagat usah dicemari kezaliman
berhemah pelihara malar hijau
lantunkan suara dusta si munafik.

ABDUL HALIM YAACOB (200109)
Pinggiran Alor Setar

http://www. esastera.com

Sunday, January 18, 2009

MENTARI DAN BULAN

MENTARI DAN BULAN

Mentari
apakah masih dapat kutatap sinarmu esok
kupingku hari ini tanpa henti diterjah ledakan bom
desing peluru berterusan meragut nyawa saudadaraku.

Bulan
di wajah surammu kupetik simpati
saban ketika disimbah darah warga tidak berdosa
terbujur jasad-jasad kaku entah ke berapa jumlahnya.

Mentari dan bulan
berbanding manusia
engkau barangkali lebih berperasaan
akal anugerah Tuhan dipersenda.

ABDUL HALIM YAACOB (180109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

MASIH PUNYA WAKTU

MASIH PUNYA WAKTU

Sejak lama dahulu Melayu itu bahasa kebanggaanku
kelak tiba ketika warisan ayahbonda di mukabumi
lupuslenyap. Tersudut di lipatan sejarah. Pemusnah?
Siapa jika bukan bangsa sendiri. Jijik kunyah bahasanya
yang pernah didaulatkan dengan sulaman ugutan peluru.

Sayu amat jiwaku. Bahasa Melayu kebanggaanku
suatu ketika silam warisan itu pernah ke persada
pedagang turut sama kerja keras menguasainya
biarpun terselindung benang muslihat kolonial
kini bakal terpadam dari peta sejarah gemilang.

Sesungguhnya. Bukan mudah memartabatkannya
tapi pada alaf kini begitu mudah hendak disemadikan
konon agar anak negeri ini sama rendah jika duduk
sama tinggi kala berdiri. Ke puncak jaya tanpa rasa silu
memacu daya saing. Kita sebenarnya masih punya waktu
melipatganda usaha betulkan landasan menuju destinasi!

ABDUL HALIM YAACOB (160109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Tuesday, January 6, 2009

GELANGGANG

GELANGGANG

Wajah manusia tiba-tiba bertukar pantas
seketika umpama ayam sabung mendada
megah. Di sisi lain jadi sebengis kerbau laga
angkuh. Rasa kemanusiaan lupus sekilas.

Gelanggang. Lokasi tempur atau sekadar berlatih?
Bertarung menguji kudrat menyingsing lengan
dan sebelum jauh tersasar khalayak barangkali
perlu tafsiran semula. Teroka interpretasi sebenar.


ABDUL HALIM YAACOB (060109)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Monday, January 5, 2009

OTAK, MENTAL & MINDA

OTAK, MENTAL & MINDA

Dalam tempurung tulang kukuh paling atas
posisi anugerah Ilahi terselindung hikmah
warisan ilmiah genetik ampuh akliah
paksi saraf dipupukbelai seawal usia.

Tinggi harapan diperjudi agar terus berbakti
moga-moga jadi warga berguna mewarnai jagat
menyumbang bakti membina gunung wawasan
terarah hala tuju jitu matlamat berterusan.

Objek otak sesempurna mungkin disuburkan
mejana integrasi mental menterjemah idea
menafikan segala kebatilan perosak rencana
diutama kini wacana minda kelas pertama.

ABDUL HALIM YAACOB (050109)
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Sunday, January 4, 2009

AGENDA

AGENDA

Terakhir kali. Tatkala masih mekar
kelopak Januari 2007. Di suatu sisi senja
yang kian menggelonsor ke penghujung
aku bersua denganmu. Berjela-jela kita perbualkan
agenda ini katamu. Teman-teman turut teruja
tentunya ingin merealisasikan gerak tindak
membijaksanakan generasi. Menyelongkar terus
amalan membaca. Kunci ilmu sejak lama dahulu.

Dunia yang kita gelumangi andai direnungi
bukan milik kita semata. Tetapi sesunggguhnya
setiap insan tanpa batas usia juga sempadan jantina
punya hak mengunyahnya. Menginjak langkah
ke gerbang terbuka menggamit sesiapa jua
kerah tenaga kutip butir-butir mutiara berharga
yang di dalamnya bertebaran merata sinarnya.
Begitu katamu dan kita ungkap sentiasa tanpa rasa jemu.

ABDUL HALIM YAACOB (230107)
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Saturday, January 3, 2009

PERUT

PERUT

Samasekali rupanya tidak menarik
kecuali warga sukan bina badan
keras berusaha membentuk ulas-ulas otot
semata-mata agar kredit markah meningkat
lalu merangkul hadiah sekali gus galas gelar.

Tersorok di dalamnya fungsi penting
mencerna makanan membentuk dagingdarah
tapi kerana dangkal maklumat juga gambaran
tiada rona cetera terungkap di kanvas sejarah
ada ketika dicemuh julukan kantung gendut.

Wanita bila hamil ketara amat fizikalnya
sembilan bulan sepuluh hari ke mana pergi
janin dalam rahim tiap ketika diawas rapi
dan setibanya masa lahir cahaya mata
dipupuk nilai murni santak dewasa.

Sepurnama Ramadan saban musim
diperintah puasa – memberi ruang istirahat
mematuhi perintah mensyukuri nikmat
anugerah Ilahi tidak terhitung jumlah
ada yang ketegar sekalipun jasad bugar.

ABDUL HALIM YAACOB(010108)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Thursday, January 1, 2009

HALA TUJU

Kian berbelah bagi hala tuju
akal waras diganggu celaru
minda di simpang keliru
silap langkah gelincir
ke gaung terhumban.

Masih kita cari jatidri bangsa
kehilangannya di maya gelita
dalam sebal kesal bertandang.

Apakah sejarah kan berulang?
Ngerinya sampai ke tulang.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (210808)
http://www.esastera.com