Sunday, August 31, 2008

KAU DATANG LAGI

KAU DATANG LAGI

Setelah semusim menyepi
kau datang membuka pintu rahmat
Ramadhan bukan sekadar mengubat rindu
sepurnama umat takwa mengaut manfaat.

Penggoda kaku terbelenggu
cengkaman nafsu bermaharajalela
pembaziran memperhamba insan.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (300808)

Wednesday, August 27, 2008

MENCONGAK MAKNA MERDEKA

MENCONGAK MAKNA MERDEKA

Ketika di usia kanak-kanak
sering kutanya bapa:
akan makna merdeka?
Lalu jawapannya: KEBEBASAN
Siapa kurung kita?
kuasa asing katanya
di bumi sendirI kita jadi kuli.

Anak-anakku kini di usia dewasa
kepadaku sering mereka tanya:
benarkah kita sudah merdeka?
Minda kita masih diperhamba
saban ketika dusta dan nista
angkara kebejatan arus perdana.

Kepada mereka kuhulur nasihat:
usah percaya jika diperdaya
tidak wajar dikongsi kemungkaran
agar selamat di dunia juga akhirat
usah tumpang gerabak dosa.

Maaf.... rela aku dicerca!
Hingga kini masih aku mencongak
makna merdeka setelah setengah abad
kutempuh di terowong ini
sinar di hujungnya masih suram.


ABDUL HALIM YAACOB (270808)
Pinggiran Alor Setar.

Sunday, August 24, 2008

JEJAK BERLIKU

JEJAK BERLIKU.

Usah ada insan nafikan bicaramu teman
pucuk kini menjulang ke langit
sebenarnya lupa akar di perut bumi
mati-matian berusaha menitiskan keringat.

Jejak ini sesungguhnya kian berliku teman
berduri sini-sana ditatah materialisme
lupa airmata perjuangan moyang
selagi ada ruang tanpa henti kantung dipadatkan.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (240808)

Friday, August 22, 2008

SUMPAH PENDEKAR

SUMPAH PENDEKAR

Terbayang gementar di wajah
cerminan riak kalbu celaru
cuaca kini tidak menentu. Begitulah
hangat iklim tapi sekujur tubuh
lencun peluh dingin menjalar
gigil anggota mahu ungkap citra
nafsu insan lazimnya tercabar
lalu melafaz sumpah pendekar
pulang kelak tidak kosong kantung
berulang disebut kiranya gugur
bukan bererti kecundang. Tewas?
Yang putih mata memeram dendam
demikian resam pertandingan.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar (230808)

Wednesday, August 20, 2008

MARUAH BANGSA

MARUAH BANGSA

Maruah harganya kian murah. Dipertaruh jua
demi merebut sebuah kubu ampuh . Kuasa
membentengi perilaku jijik. Anak bangsa
kedudukan kian goyah wajar dikentalkan
rakaman aksi lucah. Paparan lensa memilukan.


ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran Alor Setar(170808).

ORANG MUDA

ORANG MUDA

Orang muda
darah mendidih sentiasa
minda segar panas bernas
persepsi demi hari muka.

Orang muda
mencabar melenium
menilai material segala
bergaya sekalipun kedana.

Orang muda
perlu tunjuk ajar
nasihat akliah logik
jauhi sifat kurang ajar.

Orang muda
beringatlah kalian pewaris
sesudah lima dekad lebih merdeka
hakikatnya kita masih terjajah.


ABDUL HALIM YAACOB.
Pinggiran A Setar (150808)

Monday, August 18, 2008

DURI

DURI.


Oleh: ABDUL HALIM YAACOB.




MAHADI resah. Benaknya bercelaru. Gelisah. Kacau sungguh. Puas dicarinya tidak ditemui. Merata rak dan di segenap sudut almari sudah digeledah. Namun apa yang dicari tidakjuga ditemui.

“Abang tersalah letak kot,” ulas Rahimah isterinya.

“Mustahil,” sanggah Mahadi dengan nada agak pongah.

Pada hemat Mahadi memang mustahil ini boleh berlaku. Beberapa waktu kebelakangan ini agak kerap juga dia memantau. Paling kurang dua minggu sekali dia akan pastikan benda itu masih di tempatnya. Dia amat khuatir kalau-kalau ia jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab. Andai ini terjadi pasti nama baiknya kelak tercemar.

Sama sekali dia tidak mengesyaki isterinya yang ambil. Benar sejak dahulu isterinya banyak memberi sokongan. Sejak mereka berkahwin isterinya faham benar kesukannya itu. Namun begitu isterinya langsung tidak menunjukkan minat. Tidak pernah dia melihat isterinya meneliti apa yang telah dihasilkan.

Biarpun pada suatu ketika dahulu dia amat bangga dengan pencpaiannya. Apa lagi jika ada yang cukup laris di pasaran. Ini menjamin pulangan yang agak lumayan. Dengan perolehan itu juga dia mampu membeli motokar. Jarang benar guru sekolah Melayu mampu memiliki motokar sepertinya. Selalunya jika mereka mampu memliki sekuter sudah dikira hebat. Tetapi hakikatnya ia seperti duri bila dia menjangkau usia emas seperti sekarang. Duri dalam daging. Amat menyakitkan dan susah pula hendak dikeluarkan.

Ketika menghadiri majlis perkahwinan di rumah abangnya dia bertemu Ma’arof. Anak saudaranya itu adalah seorang pemilik firma jurutera perundang.

“Marzuki anak sulung saya teringin sangat nak jumpa Pak Ngah,” kata Ma’arof.
“Di mana dia?”
“Ada. Dia tengah sibuk ambil gambar mak usunya.”

“Dia sendiri ambil gambar tu?”

“Dengan kawannya. Dia joint kawannya tu buka studio foto beberapa bulan lepas. Katanya dia minat dengan fotografi. Kawannya tu pula dikatakan mahir artistic photography,” terang Ma’arof bangga. “Bukan still photo saja mereka buat Pak Ngah, VCD juga. Mereka banyak tangkap job majlis macam ni. Kadang-kadang tu ada pihak tertentu buat dinner panggil. Ada syarikat yang minta mereka sediakan laman web. Pun mereka buat.”
“Bukankah dia ambil ijazah kejuruteraan di Jepun?”

“Betul Pak Ngah. Kejuruteraan komputer. Itulah sebabnya kawannya tu ajak dia joint sama. Katanya dia pernah tinjau pendapat ramai student kita di luar negara. Mereka cadangkan dia cari jalan bagi mudahkan mereka dapat bahan study. Dia dapat idea buat laman web. Kalau ada student nakkan bahan, mereka boleh lihat contoh yang dipaparkan dalam laman web kemudian boleh pesan terus. Dengan cara itu student berkenaan tak perlu keluarkan banyak perbelanjaan tambang balik bagi mendapatkannya,” cerita Ma’arof lancar.

Sejak Marzuki pulang dari di negara matahari terbit setelah menamatkan pengajian di sana Mahadi belum pernah bersua dengan cucu saudaranya itu. Ada beberapa perkara yang ingin ditanyakan. Tambahan pula setelah diketahuinya studio Marzuki turut memproses VCD. Dalam simpanannya juga ada pita video beberapa acara yang pernah di ikuti sebagai seorang pembentang kertas kerja. Dia bercadang memindahkannya ke dalam cakra padat supaya senang disimpan serta tahan lama.

“Apa tujuan dia nak jumpa Pak Ngah tu, Rof?
“Katanya dia ada banyak perkara berkaitan sastera yang nak diketahuinya dari Pak Ngah.”
“Dia minatkah dengan sastera tu?”
“Katanya begitulah. Saya tak minat langsung. Maaflah sebab bagi saya karya sastera ni tak lebih daripada produk yang dihasilkan oleh golongan yang tak berjejak di bumi nyata. Penuh dengan khayalan belaka.”

Menyirap darah Mahadi mendengar ungkpan Ma’arof sambil tersenyum-senyum. Ternyata tafsiran anak sulung abangnya itu tidak benar. Ia seakan-akan memperkecil-kecilkan minda orang sepertinya. Bagaimanapun dia tetap rasa bangga kerana dalam jalur keluarganya ada yang berminat di bidang yang digelumanginya.
“Bila-bila ada masa lapang nanti, datang ke rumah Tuk Ngah,” pelawa Mahadi sebelum meninggalkan majlis setelah dapat berbual singkat dengan cucu saudaranya. “Nanti bolehlah kita berbual panjang.”
Sebelum ini dia menyangka ada di antara anak-anaknya yang seramai tiga orang itu akan mengikut langkahnya. Namun Mashitah anak sulungnya yang menjadi guru itu sedikitpun tidak menunjukkan minat. Adiknya Muhaini yang pada mulanya mejadi guru kemudian menceburi sektor korporat secara serius juga begitu. Mahfuz satu-satunya anak lelaki Mahadi yang jadi mekanik di Kuala Lumpur langsung tidak berminat.

Mahfuzah anak ketiga Mashitah dikesan hanya menjadi ulat buku. Novel-novel popular menjadi pilihannya. Setakat ini tidak pernah pula dia merasakan cucunya itu minat berkarya. Jika dia berminat dapatlah dibimbing cucu kesayangan yang tinggal bersamanya dan bakal meduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah menjelang akhir tahun ini.
“Budak tu tengah bergelut dengan buku-buku pelajaran, abang nak pujuk dia buat kerja seperti yang pernah abang buat dulu pula,” ujar Rahimah agak keras.
“Saya tak paksa. Tapi kalau Zah berminat saya boleh bimbing,” ujar Mahadi.
“Bukan berat sangat.”
“Tak berat? Masa abang bersungguh-sungguh buat kerja tu dulu, sampai dinihari masih ketuk mesin taip. Kadang-kadang sampai ke pagi.”
“Itu dulu, Imah. Derafnya ditulis tangan, kemudian taip. Sekarang dah ada komputer. Kan banyak kemudahan?”
“Pada saya sama saja, bang. Sudahlah. Lupakanlah, bang,” ujar isterinya seakan-akan mencemuh.

Akhirnya Mahadi terpaksa mengalah. Namun tafsiran Ma’arof dirasakan mencabar minda Mahadi. Dia kesal sungguh darah dagingnya sendiri tidak mengiktiraf orang-orang sepertinya.
Usia kemerdekaan baru mencapai ke angka lima dekad. Tapi ramai generasi masa kini seakan-akan tidak nampak kepentingannya. Pada hal sebelum ini arena sastera atau persuratan merupakan medium utama membakar semangat perjuangan memerdekakan tanah air.
Para sasterawan banyak menyemarakkan api semangat di kalangan rakyat agar bangun menentang penjajah. Antaranya Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad, Ruhi Hayat atau Ahmad Boestaman yang menyembunyikan nama sebenarnya, Abdullah Sani Raja Kechil. Turut serta ialah Dato Dr Usman Awang dengan puisi bernada melankolik yang berselindung di sebalik nama Tongkat Warrant, Masuri SN, Affrini Adham dan ramai lagi.
Sebelumnya ditemui nama-nama antaranya Punggok, Ngumba, Kamsani Haji Ariff, Chintati, Ahmad Din Idris,Yusuf Arshad, Somos dan ramai lagi yang karya-karya mereka yang bernada romantis seperti yang terkumpul dalam Puisi Baharu Melayu (Zaman Permulaan). Jika Dato’ Ali Haji Ahmad tidak berusaha menyelenggarakannya untuk terbitan DBP pada 1959 barangkali pupus begitu sahaja. Sudah tentulah generasi kini tidak dapat menatapnya.
Andai para sasterawan dan penggiat persuratan tidak terus memainkan peranan di era pascamerdeka mungkin Ma’arof juga barangkali mustahil memperolehi ijazah kejuruteraan di Pusat Pengajian Tinggi sama ada tempatan atau luar negara. Mahadi merasa kesal yang amat sangat bila sebilangan besar yang mempunyai minda seperti Ma’arof. Tanpa merasa segan-silu mereka memperkecil-kecilkan produk sastera.
Memang benar teknologi moden adalah alat untuk mencapai sasaran menjadi negara maju. Namun sastera masih relevan. Masih berperanan sebagai medium untuk membina modal insan. Generasi kini yang kian merosot moral mereka perlu dimurnikan. Gejala sosial seperti black metal, mat rempit, salah guna dadah, pergaulan bebas dan seks tanpa nikah berleluasa. Amat memilukan bila kebelakangan ini gejala buang bayi mendapat liputan besar-besaran di media. Peranan sasteralah yang dirasakan penting bagi menyalurkan segala mesej.
“Kini kita sedang berdepan dengan krisis nilai yang teruk. Laman web yang sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya disalahgunakan. Ramai anak-anak muda dan remaja mengunjungi laman web lucah,” demikian Mahadi pernah melontar pandangan dalam salah satu seminar.

Kekhuatiran pernah disuarakan kepada Marzuki yang berkunjung ke rumahnya selepas beberapa minggu mereka bersua muka. Paling menggembirakan Munirah juga datang bersama Jabar suaminya seorang wartawan yang memiliki ijazah undang-undang.
“Kalau kita sendiri tak menghargai produk sastera kita bimbang pesaka bangsa kita yang sangat indah akan lenyap di bumi sendiri seperti yang dah berlaku kepada Kembayat Negara,” luah Mahadi ketika mereka berbual-bual selepas makan tengah hari.

“Betul tu Tuk Ngah. Masa Ki di Jepun, ada sekumpulan pelajar di sana sangat berminat mengkaji dan mempelajari sastera Melayu. Mereka membandingkan dengan haiku, warisan kesenian yang menurut catitan bermula sejak kurun ke lapan lagi. Pada hal negara mereka tu bangkit dari kemusnahan Perang Dunia Kedua dengan teknologi caggih,” beritahu Marzuki.
Menurut Marzuki lagi, merekalah yang mula memberi cadangan agar dia membina laman web dengan memasukkan beberapa perkara berkaitan sastera Melayu sebagai di antara perisiannya.
“Oh… ya, tadi ada Pak Ngah ada sebut Kembayat Negara. Di mana tu Pak Ngah?” soal Jabar yang sejak tadi hanya mengikuti perbualan mereka tanpa bersuara.
“Ia ada dalam teks Syair Siti Zubaidah. Nanti Pak Ngah ambilkan,” kata Mahadi seraya bangun dari sofa lalu beredar ke arah almari buku di sudut ruang tamu.
Seketika kemudian Mahadi mengunjukkan teks Syair Siti Zubaidah Perang China terbitan DBP, 1991 yang diselenggarakan oleh Abdul Mutalib Abdul Ghani lalu diunjukkan kepada Jabar.
“Ni yang ditandakan ni, apa maksudnya Pak Ngah?” tanya Jabar seraya menunjukkan bahagian seperti yang dimaksudkan.
“Itu… em beberapa petikan fakta seperti yang pernah dikemukakan oleh Thomas Taylor Meadows, Lawrence Palmer Briggs dan Rene Grousset. Dikatakan Kembayat Negara adalah sebuah kerajaan Melayu purba yang wujud tidak jauh dari negeri China. Terdapat gelaran orang Raja Melayu bagi pemerintahnya dalam salah satu rangkap syair. Tapi tidak dapat dipastikan pula adakah ia Kemboja yang disebut oleh orang-orang Eropah sebagai Cambodia,” tegas Mahadi.

“Tapi pada sayalah, Tuk Ngah. Kembayat Negara tu adalah sebuah kerajaan Melayu yang dah hilang. Mungkin Funan, Chenla atau Champa yang terdapat di Indo China tu,” tukas Marzuki.

“Macam mana Ki boleh berpendapat begitu?” Mahadi agak tertarik dengan pendapat cucu saudaranya itu.

“Masa Ki di Jepun dulu kami dari Malaysia wujudkan sebuah rangkaian tajaan kerajaan Jepun. Program pertama kami ialah lawatan ke China. Di sana kami dapat mengesan etnik yang dikatakan berasal dari Indo China yang berugama Islam.
Mereka ini masih mengamalkan budaya Melayu yang dikatakan diwarisi daripada nenek moyang mereka,” cerita Marzuki.
Kepada cucu saudaranya itu Mahadi menjelaskan bahawa andai generasi kini tidak menghargai warisan sastera Melayu, bukan mustahil ia akan lenyap dan tinggal nama sahaja seperti yang berlaku ke atas Kembayat Negara. Sekarang ini pun sudah ada manuskrip Melayu yang tersimpan di luar negara seperti Syair Bidasari. Lagu Lenggang Kangkung juga sudah dirakamkan oleh seorang penyanyi Jepun bernama Sakura.
Perasaan bangga berbunga di jiwa Mahadi bila Marzuki menjemputnya menghadiri suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Bersama-sama kad jemputan yang diterimanya ada satu cetakan komputer menyatakan beberapa orang delegasi asing juga akan hadir. Kehadiran mereka diatur oleh rangkaian yang diwujudkan sebagai Pencinta dan Pengkaji Sastera Melayu Antarabangsa yang memperolehi dana kerajaan Jepun.
“Majlis apa tu, bang?” tanya Rahimah sewaktu mereka dalam perjalanan bagi memenuhi jemputan. Mahfuzah yang juga turut serta tidak bersuara.
“Saya pun tak tahu. Kata Marzuki dia nak buat kejutan.”
Sekujur tubuh Mahadi seram sejuk mendengar ucapan Marzuki menjelaskan latar belakang novelnya. Novel seks berjudul Tabir Nikmat itu pernah diulangcetak sebanyak sembilan belas kali. Atas permintaan para pengkaji peringkat antarabangsa ia diterbitkan semula.
“Ini adalah cetakan ke dua puluh, versi bahasa Inggeris adalah cetakan pertama,” ucap Marzuki setelah tepukan hadirin reda. Pandangannya terarah kepada Mahadi.
“Tak usah bimbang Tuk Ngah kalau delegasi asing nak terjemahkan. Kita akan buat surat perjanjian. Pak Usu Jabar yang akan urus nanti.”
Peluh dingin dirasakan menjalari tubuh Mahadi ketika dia diberi penghormatan melakukan gimik upacara pelancaran.
Patutlah naskhah tu hilang dalam simpanan, getus hatinya.

Saturday, August 16, 2008

SUMPAH SI SUMPAH-SUMPAH

SUMPAH SI SUMPAH-SUMPAH.


Wajah manisnya aduh menggoyah iman
berubah tiba-tiba jadi sumpah-sumpah
bercabang lidah. Jijik berganda
lihat lalat melintas disambar pantas
sekujur tubuh jadi dingin. Meriding roma.

Di usia sedemikian dia jadi mangsa
mengguna ayat-ayat firman bersumpah
melafaz ungkapan rela terima risiko
kiranya itu fitnah dengan ganjaran
laknat diri juga temurun. Subhanallah.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar(160808)

Thursday, August 14, 2008

ALAF BARU

ALAF BARU


Alaf baru dekad pertama
hujungnya kian mendekat
datang bersama rona perubahan.

Desir dedaunan di ranting
badai mendesah rimbun
pertanda bakal tiba rahmat.

Sejalur debar menyerbu
kalbu warga jelata berbunga
lama amat memintal derita.

Kini sejalur harap meriak
sengsara bakal reda sudahnya
temali kusut kelak dirungkai.



ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (140808)

Tuesday, August 12, 2008

POHON SEKULAR

POHON SEKULAR

Ketika maruah tercalar
masih jua kau membisu
di naungan rimbun pohon sekular
yang bersungguh-sungguh dibajai.


Suara anehmu melengking lantang
ke lain arah jemari menuding
menghindar kisah langkah sumbang
kelemahan jatidirimu diselindung.

Masih tegak subur pohon sekular
ranum buahnya sedia dituai
maaf aku mengungkapnya
setelah lima dekad lebih usianya.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (130808)

Saturday, August 9, 2008

LAYARI BAHTERAMU NAKHODA

LAYARI BAHTERAMU NAKHODA





Pusaran ganas angin di tengah segara

mendewasakan. Layari bahteramu nakhoda

tafsir realiti melintang patah membujur lalu

penghalang menirus tatkala cekalmu menebal.



Rakan-rakan di geladak mengacung tinju ke udara

masih tiada berganjak. Kukuh tegal semangat

mendepani badai yang masih mendesah keras

jadikan segalanya iktibar sepanjang jalan.



Syabas nakhoda. Usah ubah haluan asal

matlamtat kian hampir. Jelajahilah tiap ruang

dengan keyakinan menebal di sanubari

pasti arah laluanmu kelak jadi ikutan.



ABDUL HALIM YAACOB

Pinggiran A Setar (100808)

Tuesday, August 5, 2008

MUHASABAH

MUHASABAH

Selagi ada hayat
mari bermuhasabah
perangi budaya dusta
moga tiap jejak dilalui
diberkati Allah sentiasa.

Gandakan istighfar
membenih insaf
subur ke rongga kalbu
lalu musnah titik noda.

Usah dinafi terlanjur
kunyah daging saudara
siapa mahu subhat?

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar 25.1.2008.

Monday, August 4, 2008

TINTA MERAH

TINTA MERAH
(Sempena Hari Pahlawan)

Rupa bencana pelbagai
gambaran trauma derita
nikmat tenteram terancam
konon menuntut hak
terselindung situasi terdesak.

Tinta merah
selagi ada catatan
usah berkata itu terpencil!

Usah anggap warga kini lupa
bencana yang kau taburkan.

ABDUL HALIM YAACOB
Pinggiran A Setar (310708)