Saturday, November 29, 2008

MALIS POLEMIK SEJARAH ANJURAN ARKIB NEGARA



MAJLIS POLEMIK SEJARAH ANJURAN ARKIB NEGARA.

OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

PENGETAHUAN sejarah negara yang tepat dan betul adalah amat penting selaras dengan agenda pembangunan yang sedang diperkasakan.

Demikian antara objektif Arkib Negara Malaysia menganjurkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia yang berlangsung di Dewan Arkib Negara Malaysia Cawangan Alor Setar baru-baru ini.

Mengambil tema Malaysia Sehingga Abad Ke-19: Kedah, penganjur mengharapkan agar dibincang dan seterusnya dikemukakan pengkajian serta penemuan-penemuan sejarah Malaysia yang baru.

Dengan penemuan-penemuan baru itu sudah tentulah akan melengkapkan maklumat dan bahan-bahan sejarah untuk kepentingan negara.

Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan masyarakat termasuk para penyelidik menggunakan bahan-bahan arkib yang mengandungi fakta-fakta sejarah bagi mengwujudkan masyarkat berilmu dan seterusnya bagi mengwujudkan semangat cintakan negara.

Tiga tokoh terkemuka membentangkan kertas kerja masing-masing yang antara lain membicarakan elemen realiti dalam teks berkaitan dengan negeri Kedah.

Memulakannya, Prof Emeritus Dato’ Dr Asmah Haji Omar memperkatakan tajuk Bahasa Syair Sultan Mulana: Penggambaran Susunan Pentadbiran Kedah Abad Ke-19.

“Ungkapan-ungkapan bahasa dapat memberi gambaran kepada kita tentang beberapa aspek tamadun di negeri Kedah di awal abad ke-19, khusunya dari segi susunan pentadbirannya termasuk petadbiran peperangan,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan ungkapan Kota Kuala ialah Kota Kuala Kedah yang merupakan pusat pentadbiran negeri Kedah sebelum berpindah ke Alor Setar dan bukannya seperti tanggapan awal yang ditafsirkan sebagai Kota Kuala Muda.

“Orang-orang Kedah biasanya menggunakan istilah-istilah yang singkat apabila bercakap umpamanya ungkapan pi untuk pergi dan mai untuk mari,” ujar beliau.

Sebagai contoh yang lebih jelas, beliau berkata, apabila seseorang itu hendak ke Kuala Kedah dia hanya menyebut hendak ke kuala sahaja tanpa meneruskannya.

Wednesday, November 19, 2008

ATAS INGATANMU

ATAS INGATANMU

(Reaksi Selingkar Amanah- Ria Asmira)

Atas ingatanmu sahabat
tidak terhingga ucapan terima kasih
sekalipun amat berat amanah dipikul
mudah-mudahan terlaksana jua
kerana ia adalah harga diri insan.

Atas ingatanmu sahabat
tidak salah lagi adalah tali intergrasi
seperti diungkap selagi langit dijunjung
agar diperteguh tegak di bumi kaki berpijak
kerana manusia adalah semulia kejadian.

Atas ingatanmu sahabat
sentiasa aku beristikrar ke hadratnya
dengan doa diperteguhkan kemurnian.

ABDUL HALIM YAACOB (201108)
Pinggiran Alor Setar

http://esastera.com

SELAMAT BERANGKAT

SELAMAT BERANGKAT
(Buat SMSO selamat pergi dan pulang)

Setulus doa kuiringkan untukmu sahabat
agar perjalananmu ke destinasi rumahNya
dipermudahkan sepanjang kaubertamu
kelak di sana dijauhkan sebarang kesulitan
buat menyempurnakan tuntutan rukun .

Doaku jua semoga hajatmu tercapai
diberkati lalu kauberoleh haji mabrur.

Suatu ketika kelak aku juga akan ke sana
sesungguhnya sudah sekian lama terbuku
niatku di kalbu bila sepenuh afiat kucapai
amin ya rabbul alamin.

ABDUL HALIM YAACOB
(181108)
Pinggiran Alor Setar

Sunday, November 16, 2008

LANGKAH KE HUJUNG SENJA

LANGKAH KE HUJUNG SENJA.
(Reaksi sajak Hujung Ke Hujung Senja – Brirasa).


Merenung seribu musim pelayaran
riak-riak itu lantas dikutip satu persatu
dan warnanya terpercik di muka kanvas
buat mengisi bingkai pengalaman
melangsungkan langkah ke hujung senja
bersama seorang lelaki penuh hemah.

ABDUL HALIM YAACOB (171108)
Pinggiran Alor Setar.
http://esastera.com

Saturday, November 15, 2008

DI SEBALIK RAHMATNYA

DI SEBALIK RAHMATNYA
(Reaksi sajak GURUH ( ii ) - Eziz Shukman)

Tika kian menebal
mega di dada lagit
bertalu-talu bahana guruh bergema
berselangseli palitan pancaran kilat
pertanda siraman hujan bakal mencurah
bumi gersang gembira menyambutnya.

Pun kiranya tegar leweh
siratan bencana dentuman guruh
adalah amaran pemula alam
insan seharusnya bijak terjemah
rona murka di sebalik rahmatNya.

ABDUL HALIM YAACOB (161108).
Pinggiran Alor Setar.
http://esastera.com

MAJLIS SUAMWAE ESASTERA ANJUNG UTARA



MAJLIS SUAMESRA eSastera.com ANJUNG UTARA BERJAYA DIREASLISASIKAN.

OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

MESKIPUN perancangannya dibuat dalam waktu yang tidak sampai seminggu, Majlis Suamesra Aidilfitri eSastera.com Anjung Utara berjaya direalisasikan di Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar baru-baru ini.
Lebih menggembirakan kalangan aktivisnya ialah acara ringkas itu turut dihadiri oleh pengasasnya, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas (dirwan) sekalipun beliau difahamkan mempunyai acara lain di Kuala Lumpur.
“Saya terima jemputan ke majlis ini terlebih dahulu sebelum dimaklumkan oleh pihak Badan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) agar menghadiri acara yang juga berlangsung hari ini,” beritahunya ketika ditanya.
Beliau juga menegaskan bahawa SN Dato’ A Samad Said turut mengkagumi eSastera.com yang disifatkan begitu prolifik dalam menyiarkan karya berbanding dengan media konvensional.
“Hanya apa yang dikhuatiri ialah karya-karya yang tidak bermutu juga turut disiarkan selain berlakunya plagiarisma atau kegiatan menciplak karya orang lain,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan agar para aktivis eSastera.com menghindarkan diri dari mengamalkan budaya sedemikian yang dilihat sebagai tidak bermaruah.
Pada acara yang dihadiri oleh seramai 14 peserta itu beliau turut membincangkan mengenai rasional penubuhan jawatankuasa wilayah.
“Objektif utama menubuhkan jawatankuasa eSastera.com peringkat wilayah adalah untuk menggerakkan kegiatan luar talian (off-line) di peringkat tempatan meliputi acara deklamasi puisi, seminar atau forum.
“Setakat ini ia bukanlah berfungsi sebagai sebuah organisasi sepenuhnya tetapi direncanakan agar setiap wilayah akan mempunyai daftar (direktori) keahliannya sendiri yang bebas daripada daftar keahlian eSastera.com,” ujar beliau.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau menegaskan semua ahli boleh mengkategorikan dirinya aktivis di wilayah mana yang dipilihnya.
“Misalnya sekalipun ketika mendaftar sebagai ahli eSastera.com dia berada di Kedah sedangkan negeri asalnya adalah Kelantan, dia akan dikategorikan sebagai ahli di Kelantan.
“Namun jika dia mahu dikategorikan sebagai ahli di Kedah, dia boleh memindahkan namanya dalam direktori sebagai ahli eSastera.com Kedah,” jelas beliau.
Setakat ini, menurut beliau, telah wujud jawatnkuasa di Wilayah Timur dengan Anbakri selaku penasihatnya. Manakala ketuanya ialah Ramy di samping ketua-ketua negeri terdiri dari Kale Mas (Kelantan), Hani Hamsyari (Terengganu) dan Teratai (Pahang).
Dua lagi jawatankuasa yang telah diwujudkan ialah Wilayah Tengah diketuai oleh Rudy Bluehikari dengan dibantu oleh Kalamutiara (Ketua Kuala Lumpur) dan Kerisakti (Ketua Selangor) dan Wilayah Borneo yang diserahkan kepadaNimoiz T.Y selaku Ketua Wilayah tetapi belum dilantik ketua bagi Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Klimantan (Indonesia II).
Pada majlis itu beliau menyatakan persetujuan dengan jenama ‘Anjung’ bagi Wilayah dan selepas ini wilayah esastera akan dikenali sebagai Anjung eSastera.com. Di utara akan dirujuk sebagai Anjung eSastera.com Utarayang diterajui oleh Brirasa dengan dibantu oleh Zaidin Abadi (Ketua Kedah) dan Ahkarim (Penasihat). Manakala ketua Pulau Pinang dan Perlis belum lagi dilantik.
“Bagi tujuan praktikal, oleh kerana negeri Perak menganjur dari utara hingga ke tengah ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Perak I (Anjung Utara) dan Perak II (Wilayah Tengah). Ahli-ahli yang berada di negeri Perak adalah bebas memilih untuk menyertai eSastera.com Perak I atau eSastera.com Perak II.
“Begitu juga, daerah Kalimantan (dilabel Indonesia II) dimasukkan ke dalam Wilayah Borneo,” tambah beliau.
Mengulas mengenai Wilayah Selatan yang meliputi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, beliau menegaskan setakat ini belum ada cadangan atau permintaan ke arah itu.
“Bagaimanapun di sepanjang pengetahuan saya, sudah ada cadangan dari negara di seberang tambak Johor; Singapura yang membayangkan hasrat menerjuinya,” tegas beliau.
Beliau turut membayangkan untuk menggerakkan eSastera.com secara formal mengikut lunas undang-udang pada masa akan datang dan mendaf tarkannya atas nama Persatuan eSastera Malaysia dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Selain itu katanya, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bagi menubuhkan Koperasi eSastera.com bagi maksud memperluaskan aktiviti ekonomi di bidang penerbitan buku, majalah, CD dan sebagainya khusus yang berkaitan dengan sastera serta kegiatannya secara interaktif.
Dalam pada itu perancang majlis itu, Brirasa, melahirkan rasa syukur kerana dapat menjayakan majlis yang pada mulanya dianggarkan bakal dihadiri oleh sekitar 30 orang aktivis eSastera.com di sekitar Alor Setar.
“Ramai aktivis eSastera.com yang berada di luar Kedah seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak umpamanya sukar menyertainya kerana ia diadakan pada hari bekerja dan mereka baru sahaja pulang bercuti bagi menyambut raya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini kalangan aktivis eSastera.com sering mengadakan pertemuan pada setiap hari Selasa jika tiada sebarang halangan Restoran Ahmdiah (hadapan Hospital Alor Setar) yang dikenali sebagai Santai Pokok Ceri (SPC).
Hadir sama ialah aktivis veteran Dato Abdul Halim ‘R’ yang merupakan pemantun yang dinanti-nantikan kehadirannya bersama karya terkini di eSastera.com dan mokhtarahman yang juga kini turut aktif berkarya di ruangan siber.

HABUAN


HABUAN


Kiranya seiring landasan komuniti
barangkali mustahil ditolaknya habuan
juga rentak media mungkin berbeza
badut-badut tidak gamat lantun provokasi.

Konon enggan dilabel termakan budi
cadangan pemberian habuan ditolak
anehnya sifir rasuah masih menggema
berduri onak membudaya di mana-mana.

ABDUL HALIM YAACOB (151108)
Pinggiran Alor Setar.

http://esastera.com

Thursday, November 13, 2008

DAN BAHTERA HAMPIR KARAM

DAN BAHTERA HAMPIR KARAM
(Reaksi sajak Dalam Pelayaran Sebahtera – nordarus)

Masih kita menanam cita-cita agung
sebelum karam terlanggar beting
bahtrera mesti diperbetul haluan
patuhi takah peratuan tuju arah.

Generasi mutakhir melempar soal
apakah bahtera itu warisan?
Wajarkah diperturunkan?
Membingungkan sebenarnya.

Keresahan bersarang di kalbu
warga kini bergigitan sesamanya
tepuk dada mengaku pembela
lalu terpancar pertanyaan:
siapa kelak menikmati pembelaan?
dan bahtera pun hampir karam.

ABDUL HALIM YAACOB (141108)
Pinggiran Alor Setar.
http://esastera.blogspot.com

Wednesday, November 12, 2008

INGATAN KEPADA WARGA AYAM

INGATAN KEPADA WARGA AYAM

(Reaksi Sajak Rock Kepada Warga Ayam - Brirasa)



Tatkala menyinsing fajar sadik di ufuk timur
berderai sayup saujana kokokmu
memecahi hening damai suasana
usah ekor pula digelumangi najis
semestinya kokokmu jua melafaz zikir
mengajak insan berbakti ke hadhrat Ilahi.

Aneh jika tiba-tiba diam ketika bertelur
sifatmu semula jadi riuh sekampung
mencakar sekadar mengintai rezeki
ada mitos konon jarum dikesan agar dipulangkan
kala berbayang kelibat helang di lembayung
segera lokasi persembunyian kau tujui.

Awas!!
di kancah komunitimu
wujud musang dengan wajah menyerupaimu
mengaku saudara kerana serupa denganmu bulunya
wajahnya juga tiada beza dengan wajahmu
kekadang di lorong gelap menangguk habuan.
.
ABDUL HALIM YAACOB (121108)
Pinggiran Alor Setar, Kedah.
http://esastera.com

Tuesday, November 11, 2008

DI RUMAHMU

DI RUMAHMU

Di rumahmu aku pernah terkunci
tanpa jendela udara pengap. Aku rimas
teraba-raba cari makna. Samar
dan aku hampir tersasar di suatu perjalanan
lalu kusederhanakan pengertian.

Di rumahmu aku jadi terasing
fikiran buntu mengharap bimbingan
namun tiap kali kuaju pertanyaan
cercaan kerap bertandang. Aku kecewa
dan kesekian kalinya tapak itu kutinggalkan.

Di rumahmu akhirnya aku datang semula
mengutip butir-butir tasbih
yang berderai tercicir dari karangan
ke jemarimu kembali kusangkut
dengan segunung harapan
agar tidak berderai dimamah waktu.


ABDUL HALIM YAACOB (111108)
Pinggiran Alor Setar
http://esastera.com

Monday, November 10, 2008

DESA KELAHIRAN

DESA KELAHIRAN

Ketika langkah kuatur meninggalkanmu
di desa kelahiran masih bersisa belantara
masih terdengar sayup suara ungka berpesta.

Kupahat kukuh janji:
sesekali pasti aku kan kembali
menjengahmu andai ada kesempatan.

Kini ketika lamanmu kujengah
dadaku tiba-tiba dipanjat sebak
tiada lagi keriuhan seperti dulu
suara ungka tidak lagi bersahut
setelah belantara benderang ditebang.

Kulempar pandangan ke anak sungai
pilu kalbuku lihat ia teruk tercemar
tiada lagi lubuk tempat bubu dan lukah
dahulunya sumber rezeki kami sekeluarga.

ABDUL HALIM YAACOB (1112008)
Pinggiran Alor Setar.
http://esastera.com