Wednesday, December 31, 2008

DADA DI BAWAH DAGU

DADA DI BAWAH DAGU

Hampir seiras namanya disebut
dengan leher terpisah posisi
fungsi dan bentuk keduanya berbeza
lebah bergantung julukan dagu
pemanis wajah wanita rupawan
gender lelaki suburlebat janggut
atau mungkin jarang-jarang.

Dada bidang lambang peria tampan
ada kala entah mengapa di kait perisian ilmu
pepatah kata tepuk dada, tanya selera
wanita dikenali berbeza bentuk (usah sebut)
bersarang dua paru-paru di dalam
saban ketika tanpa istirahat bertugas
fungsinya menyedut udara beroksigen
menghembus buangan karbon dioksida
terhenti hanya kala terpisah ruh dari jasad.

Selaku hamba kita dipinjamkan ruh seketika
tunai janji segala selagi kesempatan ada
pertingkat syukur sebelum tiba hukum
Maha Suci Allah lagi Maha Perkasa.

ABDUL HALIM YAACOB (311208)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esasterat.com

Tuesday, December 30, 2008

LEHER DAN TENGKUK

LEHER DAN TENGKUK

Kiasan mengait namanya barangkali tiada
begitu jua wujudnya kurang menarik
pun organ dua nama ini berharga amat
andai tiada barangkali pemiliknya tiada
terbina bukan sedikit saluran darah
laluan makanan, tidak ketinggalan udara
seakan sebuah sungai lengkap
tumbuh aur mencengkamteguh tebing.

Tersebunyi di dalamnya peti suara
yang berfungsi kepada jasad normal
dibantu sedutan udara dari luar
yang menerjah keluar lewat saluran
memproses kata lewat kombinasi
halkum, hidung, gigi, bibir dan lidah
terluah di mulut ungkapan isi hati terbuku.

Hampir tidak disedari kehadirannya
juga rupa fizikalnya mungkin tidak menarik
selain pernah diberi julukan jenjang
entah di mana garis sempadan pemisah
leher di hadapan anugerah Ilahi
panggilan tengkuk di bahagian belakang
ke hadirat pemilik semesta Maha Pencita
selaku hamba mari kita perbanyakkan syukur.

ABDUL HALIM YAACOB (301208)
Pinggiran Alor Setar

Sunday, December 28, 2008

MAAL HIJRAH

Begitu hukum alam. Menyerlah Maal Hijrah
bersejarah padang hayat yang kutempuh
pertanda usia senja kian menanjak
ke hadirat Ilahi sebesar syukur setulus hati
kupanjatkan doa sejahtera. Jua umat sejagat.

Hampir serentak beriring-iringanan
terukir Hijrah 1430 dan Masehi 2009
kian ranum usia dunia. Sarat pancaroba
agar dimakmurkan dengan amal makruf
mungkar terus diinjak santak lumat.

Sedihnya angkara rakus manusia
lagi berterusan. Bumi Allah tercemar
lewat kosmetik pelbagai. Noda tersebar
subur jalari medium canggih terkini
anugerah kepintaran minda pascamoden.

ABDUL HALIM YAACOB (291208)
Pinggiran Alor Setar.

Saturday, December 27, 2008

KUNTUM PUISI (iii)

KUNTUM PUISI (iii)

Nalurimu belum terlewat barangkali
hindar elemen negatif. Lontarkan
kesumat terbuku di kalbu. Usah pendam
lunakkan suhu amarah dengan berhemah
irama bahasamu seharusnya melankolik.

Benar nafsu amarah bak gejolak api
jadikannya bak gemalai bayu
melekalenakan monyet di dahan
bukan seperti ribut kencang. Lalu
terkekeh ketawa sang monyet
sambil empat anggotanya
di dahan memperteguherat pautan.

ABDUL HALIM YAACOB (281208)
Pinggiran Alor Setar.
http://www.esastera.com

Friday, December 26, 2008

SEPULUH JARI DI TANGAN

SEPULUH JARI DI TANGAN

Sepuluh jari lengkap di tiap sepasang tangan
paling kecil dan pendek digelar kelengkeng
jari manis di sebelahnya. Kekadang cicin sebentuk
tersarung berhias. 14 ruas setiap satu erat kerja
bersama menjemput makanan ke mulut disuap
seakan berjanji. Teratur gerak dilaksana berjadual.

Warisan silam pepatah terungkap:
telunjuk lurus berkait kelengkeng
mencucuk mata juga telunjuk
mengait tafsir sikap negatif manusia
telunjuk diguna menuding arah ke depan
tiga jari mengarah ke belakang ditindih ibu jari
pastikah fasafahnya berupaya dihurai?

ABDUL HALIM YAACOB (251208).
Pinggiran Alor Setar.

http://www.esastera.com

Thursday, December 25, 2008

BAHU DAN TANGAN

BAHU DAN TANGAN

Segar masih ungkapan pepatah:
tangan mencincang, bahu memikul
berat sama dipikul, ringan sama dijijing
berganding bahu, berpimpin tangan
lempar batu, sembunyi tangan
perlu diterjemah siratan makna satu persatu.

Betapa akrab anggota empat kerat tulang
seperlunya saban ketika dimanfaatkan:
bahu mengandargalas beban. Ukuran jengkal
dari hujung jemari ibu ke hujung jemari hantu
berpangkal dari siku pula dikira hasta.

Aneh di jasad anak Adam
wujud anggota spesis syaitan
keduanya musuh ketat sejak semula
teguh azam subur kesumat santak kiamat
jarum muslihat diikhtiar dengan cara apa jua.


ABDUL HALIM YAACOB (181208).
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Wednesday, December 24, 2008

KUNTUM PUISI (ii)

KUNTUM PUISI (ii)

Di era silam kuntum puisi mekar berterusan
melaunglengking lontaran semangat juang
madah romantis melankolik mirip dilamun cinta
tersimpul maksud ajakan anak bangsa bangkit
menuntut hak dan pertuanan yang hampir lumat
diinjak-injak kolonial konon asalnya hulur khidmat
lalu membelenggucengkam atur agenda kapitalis
agar sendat kantung diisi tanpa henti.

Kuntum puisi nada romantis dimengerti maksud
lapis makna sarat tersirat suntikan semangat patriotik
pengamat lalu tanpa mengharap sebarang ganjaran
merealitikan ajakan. Berlangsung di era pascamerdeka
dan kini kian terpinggir. Bersisa sesudah lima dekad berlalu
sewajarnya kita jangan terkaku seribu bahasa membisu.

Ayuh warga mutakhir. Di alaf ini mari meriahkannya
genggam erat hasrat menukangi kuntum puisi
hindari rasa bosan lalu kita bajasuburkan laman ini
usah dibiar bakat berkarat dikunyah masa
ganda usaha kuat tekad selagi terdaya
suarakan segala kesumat dari lubuk kalbu kalian.

ABDUL HALIM YAACOB (211208)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Tuesday, December 23, 2008

WARASKAN PELAKON

Hanya kerana skrip di tangan mereka
berterusan kita mentah-mentah dibohongi
hidangan plot amat mengelirukan.

Demi sesuap nasi sutradara menyepi
tiba-tiba jadi bacul sekali gus gusar
tersasar tugas. Asal kantung sendat berisi.

Seusai pementasan wajar kembali dinilai
sabar. Sekalian pemain usah tersinggung
lapangkan dada. Buka minda seluasnya
kritikan lazimnya ikhlas. Sementelah
di pentas persembahan bukan percuma.

Khalayak punya hak mewaraskan pelakon
dianjur berama betulkan duduknya landasan
agar generasi mendatang tidak mempersenda
laluan yang sasarannya kian menyimpang.

ABDUL HALIM YAACOB (231208)
Pinggiran Alor Setar
http://asalbayu-kutipan.blogspot.com

Monday, December 22, 2008

SEMULUK JANJI

SEMULUK JANJI

Seribu janji muluk diperbaharui
terungkap luahan bertalu-talu
meski yang pernah dibicara
belum sepenuhnya dilunasi.

Begitu janji muluk dipermudahkan
laungan lisan lancar luncur bicara
lidah tanpa tulang tiada larangan
dengan harapan tiada ungkitan.

Bukan sukar mebaharui semuluk janji
maniskan wajah lunakkan bicara
hiasi senyuman bersendi silatulrahim
yang terbuku di kalbu adalah rahsia.

ABDUL HALIM YAACOB (221208)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Sunday, December 21, 2008

MULUT

MULUT

Sejak lahir fungsinya menerima suapan makanan
sistem penghadhaman dilengkapi kilang liur
menjana enzim selain gigi sebagai penghancur
lidah membantu kiranya ada makanan pejal
bibir mongel penghias wajah anugerah Ilahi.

Ketika masih di usia rebung
dilatih guna sebutan kalimah berhemah
dibimbing ungkap berulangkali aksara Al-Quran
dipertaruh harap agar difahami isikandung
pedoman berharga pelbagai perumpamaan
rakaman citra silam makhluk ciptaan Allah.

Hukum logik dari situ suara melantun
merdu nyaring dendangan lagu bernyanyi
mengalun azan dan melafaz ayat-ayat suci
malang benar andai salahguna bicara dusta
hindari umpatfitnah bawa bencana
syukur sentiasa meski sukar bicara – kelu.


ABDUL HALIM YAACOB (141208)
Pinggiran Alor Setar.
http://www.esastera.com

Saturday, December 20, 2008

WAJAH

Terungkap pelbagai tafsir
manis, masam, bengis, kacak, sombong
bermacam istilah terluahsirat
mantap kewujudannya. Di situ
tiga deria sekurang-kurangnya:
- mata = teliti dan kekadang cuai menatap
- hidung = bernafas dan deria cium
- mulut dengan kombinasi lidah = merasa dan bertutur.

Melintang kumis sebelah atas bibir gender lelaki
tampak garang. Kekadang di dagu janggut bergayut
bersambung jambang ke pelipis
bukan semua memeliharanya
usah dipinggir kening – ada kala ditipiskan
konon cantik. Lentur alis pemanis
dahi juga sebahagian wajah. Mulus pipi
lebih manis andai jelas lesung pipit. Menempel
tahi lalat. Kekadang seperti alis - palsu.

Wajah sesungguhnya anugerah sempurna
ke hadirat Ilahi syukurlah tiap ketika usah ragu.

ABDUL HALIM YAACOB (031208).
Pinggiran Alor Setar.
http://www.esastera.com

Friday, December 19, 2008

ANUGERAH SEPASANG KUPING

ANUGERAH SEPASANG KUPING

Andai fungsi utamanya tiba-tiba tiada
tidak semena-mena bencana mengintai
di mana-mana ruang musuh menanti
tidak mustahil bertindak mengancam
memungkinkan pemiliknya jadi korban .

Besar nikmat anugerah sepasang kuping
seawal tiba ke dunia dari rahim dikumandang azan
menyusul iqamah ajakan menuju jaya. Sekali-kali
usah mengalah biar pelbagai ujian merintang
tunjuk ajar harung padang hayat menuai hasil.

Sepasang kuping cantik berhias anting-anting
dulu milik wanita. Tapi kini gender lelaki juga
gondrong rambut gemalai lenggang
di era terkini mantafsir jantina membingungkan!

ABDUL HALIM YAACOB (191208).
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

MATA SEPASANG

Mata sepasang. Nikmat anugerah Ilahi
simbol keagunganNya. Tiada terhitung
ciptaan insan kiranya perlu ditempatkan
samasekali bersalahan. Tanpa fungsi
sekadar menyeimbangkan organ asli.

Mata sepasang adalah jendela
rapuh. Dilengkapi saraf optik ke otak
bersambung. Guna menghantar isyarat
ditafsirterjemah apa jua rakaman
rupa objek juga rona-rona senario.

Mata sepasang sesungguhnya
deria penting penyinar hiaswajah
kiranya tiada digelar buta penglihatan
pasti mustahil mentafsir segala. Masih beruntung
pemilik bergelar warga istimewa.

Mata sepasang. Ke dasar hati
mengirim isyarat ungkapan cinta
mula rabun di kala merangkak senja usia
adakala bukan mustahil ketika masih muda.

ABDUL HALIM YAACOB (101208)
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Thursday, December 18, 2008

UUM WJAR WUJUDKAN PENGAJIAN PELBAGAI BAHASA.

Ketika mendengar seorang personaliti bernama Puspa berbicara di Klasik Nasional tiba-tiba saya teringat Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang mengajar pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.
Terlintas juga di benak saya, alangkah bagusnya jika Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok juga mengwujudkan bidang pengajian seumpama itu.
Lebih 10 tahun dulu saya pernah menyambut dan melayan tetamu dari sana (BFSU) bersama Allahyarham Noorjaya yang ketika itu adalah Ketua Satu ASASI dan Dato Abdul Halim "R" (Bendahari) di Restoran Jelapang.
Menariknya salah seorang daripadanya sangat berbangga dengan bahasa ibundanya dari suku Hebei. Tidak pula saya tahu sama ada dia mahir berbahasa asing dan saya juga tidak terlintas untuk bertanyakan hal itu.
Dia mendeklamasikan beberapa buah sajak dalam bahasa ibundanya Ialu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh jurubahasa yang turut serta.
Lantas terlintas di benak saya kenapa orang Melayu tidak bangga dengan bahasa ibunda; Bahasa Melayu. Mengapa orang Melayu sendiri jijik dengannya?
Orang Melayu terutama kalangan pemimpin Melayu tak ada siapapun sayang dengan Bahasa Melayu.
Oleh itu saya berpendapat slogan TAK MELAYU HILANG DI DUNIA sudah tidak relevan lagi.
Maaf dan salam.

Wednesday, December 17, 2008

KUNTUM PUISI (i)

KUNTUM PUISI (i)

Ungkapan indah memikat
pesona kalbu mengasyikkan
segar berirama bunga bahasa
kadangkala keras pejal mengancam
di dalamnya terkandung amarah.

Di mana-mana majlis
lantunan suara dikumandangkan
berpusar pengertian maksud
ada kala sukar difahami
begitu kuntum puisi berpaksi.

ABDUL HALIM YAACOB (171208).
Pinggiran Alor Setar.

http://www.esastera.com

Tuesday, December 16, 2008

JASAD SEKUJUR

JASAD SEKUJUR

Begitu sempurna ciptaan Maha Perkasa
di muka bumi tiada bandingan. Diberi nafsu
imbangan akal. Diangkat jadi khalifah
meski ada makhluk mempersoal kewajaran
Dia Maha Mengetahui mengatur semesta alam.

Jasad sekujur sewajarnya mensyukuri nikmat
dengan tingkahlaku dan lafaz seikhlas amal
tabur bakti selagi hayat mengizinkan
kombinasi tenaga tulang empat kerat
tumpah keringat tunjangan idea minda waras
sebelum usia melabuh tirai di jendela senja.

Jasad sekujur dibekali roh. Tiada kelihatan
seluruh jagat bakti subur ditabur – dibajai
agar sekalian penghuni memanfaatkannya
saban ketika sebelum tiba nokhtah janji
disemadi di perhentian jasmani. Di alam akhirat
memulai kembara ke mahkamah mahsyar.

Di sebalik sabda pepatah mari selami ungkapan:
mati gajah tinggalkan timbunan tulang
sepi ngaum harimau meninggalkan belang
manusia jadi sebutan – baik dijulangsanjung
buruk cuba didiamkan meski hati mengeji
sepanjang masa nama terpahat di lipatan sejarah.

FirmanNya Surah At-Tiin, ayat 4:
Sesungguhnya
telah Kami ciptakan manusia
dalam bentuk yang sebaik-baiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).


ABDUL HALIM YAACOB (161208)
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Monday, December 15, 2008

DAHI

DAHI

Andai luas julukan sulah diberi
pernah diungkap dempak sirih
pertanda rupa kacak jejaka tampan
di dalamnya tersorok tempurung pejal
mengurung objek otak paksi segala perintah
tersimpan di dalamnya akal - minda.

Setidak-tidaknya 17 kali sehari semalam
diletak di bawah – bersujud seikhlasnya
ke hadrat Ilahi melafaz pujian dengan lisan
sekata kalbu mengagumi citeraptaanNya
pemilik semesta - hari kemudian.

Garis ranum usia terpapar jelas
gambaran kematangan pengalaman
wajar dimanfaatkan dengan perkongsian
warisan generasi hari muka.

ABDUL HALIM YAACOB (11208).

Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Sunday, December 14, 2008

RAMBUT

Legam menutupi pundak
juga perang milik umat barat
memutih rona ketika ranum usia
genjur, keriting, kasar, halus
dianyam sanggul mahkota wanita
tapi waspada ia juga adalah aurat
kepada bukan muhrim diperintah:
samasekali jangan dipamer.

Di ambang perkahwinan:
“Gadis pengantin mesti buang anak rambut”
begitu kerja sibuk Mak Andam tradisional
amalan warisan sedemikian pupus kini.

Pernah kudengar kalimat syahdu:
“Pohon maaf dari hujung rambut
sampai hujung kaki.” Benarkah ada?
Atau tersirat maksud telapak kaki?

Rambut kiranya melebat subur
penentu segak bergaya peria - jejaka
ada ketika gondrong melepasi bahu
pun kadang kala kusut masai - terbiar
malang seandainya seurat jua tiada
diejek gelaran B-O-T-A-K= botak
usah keliru kerana begitu lambang bijaksana.

ABDUL HALIM YAACOB (301108).
Pinggiran Alor Setar

http://www.esastera.com

Friday, December 12, 2008

MENTAFSIR PELANGI

MENTAFSIR PELANGI
(Reaksi Pesona Pelangi Lagi - Ilham Ainol)

Di sebalik tujuh lapis rona
tersirat tafsir keagungan Ilahi.

Asas rona sebenarnya sama. Legamkah
atau terserlah putih. Rakaman jendela mata
lewat saraf optik isyarat disalur ke otak
diterjemah spontan. Begitu hukum fizik.

Langsung teringat aku akan mitos silam
konon pelangi adalah ular danu berpuaka
mencedok air minum guna batil emas
tidak mungkin ditemui pencari
bakal kudung tangan andai ditunjuk.

Demikian dendangan momokan bermoral
sukar dijelas siratan makna. Lantas
anak-anak melabel mereka dibohongi.

ABDUL HALIM YAACOB (121208)
Pinggiran Alor Setar.

http://www.esastera.com

Tuesday, December 9, 2008

PUNDAK

PUNDAK

Dipermulia
lokasi teratas anatomi lahiriah
samasekali pantang dilangkahpijak
pernah diletak naskhah suhuf Al-Quran
andai ditepuk konon membantut pertumbuhan.

Di atasnya
ibuku pernah letak gemal padi
junjung bakul bermuat hasil tani
lalu dijaja di pekan sehari – Pekan Ahad
nostalgia zaman kanak-kanakku.

ABDUL HALIM YAACOB (212 08).
Pinggiran Alor Setar
http://www.esastera.com

Friday, December 5, 2008

KETUANAN

Oh... alangkah pilu. Alangkah sedih
lebih lima dekad kedaulatan diperolehi
seraya menegakkan warisan bahasa ibunda
bangsaku. Kian jijik menatap rupanya
yang dikata tiada nilai. Huduh. Meloyakan
dijenamakan sebagai ketinggalan
di bumi merdeka. Wajar ditiadakan.

Kian kabur warisan bahasa ibunda
kian pupus daulatnya di bumi sendiri
ketuanan Melayu diinjak bangsanya
rakantaulan turut menerjah. Bertalu-talu
melayan kepongahan generasi mutakhir
aksara Jawi sudah lama ke jurang terhumban
akhirnya mereput. Lenyap dari lipatan sejarah.

ABDUL HALIM YAACOB (031208)
Pinggiran Alor Setar

http://esastera.com

Wednesday, December 3, 2008

REALITIKAN IMPIAN

REALITIKAN IMPIAN

Keagungan Kesultanan Islam Melaka?
Mustahil berulang. Lihat!
Ketuanan kita sedang dipersoal
bukan oleh orang asing. Taulan kita
juga tinggal serumah
yang sesama mengunyah nikmat.

Benarkah Hang Tuah cerdik?
Atau pengampu. Lantas
di lubang najis sanggup berlecak
memusnahkan kesetiakawanan Hang Jebat
menabur cerita konon penderhaka
mengamuk memperkosa gundik istana
kemudian melaung ‘takkan Melayu hilang di dunia’.

Sewajarnya sebelum segalanya punah
perbetulkan persepsi. Tegakkan pepanji ketuanan
warisan bahasa ibunda yang kian luput kedaulatan
sedang sebelumnya tersohor
ditutur 300 juta umat! Khabarnya.

ABDUL HALIM YAACOB (031208)
Pinggiran Alor Setar

http://esastera.com

Monday, December 1, 2008

DI MANA POHON KETAPANG?

DI MANA POHON KETAPANG?
(Buat renungan Ria Asmira)

Saban ketika kulewati di situ
tumbuh satu persatu pertanyaan:
Pohon ketapang? Di mana?
"Ia hanya sekadar khayalan”
ulas Brirasa di Santai Pokok Ceri.

Berulangkali kutatap halaman 88 – 89
(Kumpulan Puisi Merungkai Gelisah, DBP, 2007)
lantas di bibirku menguntum senyum
meski pohon ketapang tiada
dan kini mes teh tarik juga lenyap
di situ wujud Restoran Springleaf
pohon ingatanmu tegak menyanggah awan
terus melempar kita ke ruang nostalgia.

Antara kita. Sekalipun tiada pertalian darah
jauh berbeza lokasi kelahiran
dialek pertuturan kita serupa
lalu di kalbuku segera terlintas
begitulah kekayaan Ilahi. Mempertemukan kita
sebelumnya di alam nyata. Kini di alam maya.

ABDUL HALIM YAACOB (301108)
Pinggiran Alor Setar.


http://esastera.com