SI BESTARI TERPEDAYA JUGA
Si Bestari dalam segala perkara bijak
ke menara gading melangkah 
dijulang warga desa kelahirannya
dan dia tersenyum bangga
ceria tergambar di wajah bercerita 
tentang tatacara menongkah arus
sewajarnya  tanpa  jemu
mesti digeluti saban ketika.
Atas kapasiti motivator
Si  Bestari ditala ke merata pentas
menjaja diri untuk diteladani
lalu omongan jejak yang dilaluinya
terjangkau  ke serata  pelosok.
Tiba-tiba tercetus  soalan
tentang pencapaian cemerlangnya
dalam matematik dan sejarah
kedua-duanya konon perlu mahir
mencatur angka di semua arah.
Si Bestari terbeliak.  Tergamam
bahawa dia juga terpedaya rupanya
 keagungan Kerajaan Melayu Melaka
 cuma seabad lebih sedikit tertegak
di asaskan 1409 – kecundang  1511
hampir  lima abad kuasa asing cengkam negara
dongeng lima bersaudara Hang Tuah
konon dengan Taming Sari bertikam
di Majapahit yang sekian lama lenyap
slogan ‘Tak Melayu Hilang Di dunia’
dilaung saban ketika tanpa segan silu
sesudah lima dekad cengkaman  penjajah terbebas
lantang ke seluruh jagat dilaung keagungannya
tapi Bahasa Melayu bakal terpinggir
Si Bestari malu amat ketika  mengenali
 pencetus soal bekas rakan sedarjahnya
kandas menapak ke menara gading
lantas menukar laluan.  Ke persantren
seadanya memungut bekalan ilmu
 jambatan menuju akhirat.
ABDUL HALIM YAACOB (06022010)
Taman Purnama, Alor Setar.